Friday, June 26, 2009

Konsep Pendidikan Islam

Pendidikan Islam bermaksud memberi pendidikan kepada anak-anak atau murid-murid/pelajar berdasarkan ajaran Islam. Mendidik juga bermaksud mengasuh, menjaga dan membelai supaya seseorang anak itu menjadi baik. Baik di sini tentulah baik pada pandangan Islam. Ilmu pengetahuan yang diberi itu ialah suatu wadah dalam pendidikan. Justeru ilmu belum tentu mendidik, dan memberi ilmu juga belum tentu lagi memberi pendidikan.
Mendidik ialah kata-kata nasihat supaya murid melakukan sesuatu yang baik. Menasihati murid supaya melakukan suruhan Tuhan seperti solat, beradab dengan ibu bapa dan guru adalah pendidikan. Menasihati murid supaya belajar dengan baik dan tekun adalah pendidikan. Menjaga kebersihan diri, bilik darjah, kawasan sekolah, kantin, padang adalah tuntutan Islam. Kekemasan diri, bilik darjah, kawasan rumah, juga tuntutan Islam. Menasihati pelajar atau murid melakukan semua ini ialah pendidikan Islam namanya.
Berdasarkan kepada takrifan ini bermakna, tugas pendidikan Islam bukan terletak kepada ibu bapa dan guru agama sahaja, malah kepada semua orang Islam. Kalau di rumah, ibu bapa dan keluarga itu yang bertanggungjawab memberi pendidikan Islam. Manakala di sekolah pula, semua guru yang beragama Islam adalah bertanggungjawab memberi pendidikan Islam kepada semua murid Islam. Guru agama atau istilah sekarang guru Pendidikan Islam, lebih luas tanggungjawabnya; pertama menyampaikan pengetahuan Islam dan kemudian mendidik dengan pendidikan Islam. Masyarakat pula bertanggungjawab untuk menghidupkan budaya Islam di dalam masyarakat. Ini termasuklah percakapan, pergaulan, permainan, urusan harian dalam hal ekonomi, politik, sosial, teknikal dan sebagainya.
Kalau di sekolah guru mengajar supaya pelajar melakukan sesuatu yang baik atau sesuatu suruhan Tuhan, seperti solat, tutup aurat dan sebagainya, manakala dirumah ibu bapa tidak menunaikan solat dan tidak menutup aurat menurut kehendak Islam, bermakna ibu bapa tidak mendidik anaknya dengan pendidikan Islam dalam aspek tersebut. Sama juga dengan sekolah. Jika guru Pendidikan Islam mengajar dan mendidik pelajarnya dengan perkara-perkara yang dituntut oleh Islam seperti di atas, tetapi guru lain tidak melakukannya, bermakna guru Islam tidak mendidik pelajarnya yang beragama Islam supaya menghayati ajaran Islam. Ini bermakna, guru tersebut tidak mendidik pelajarnya dengan pendidikan Islam.
Demikian jugalah dengan masyarakat. Jika masyarakat tidak membanteras segala perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam yang wujud dalam masyarakat tersebut, sebaliknya menganjurkannya pula, bermakna masyarakat tersebut tidak mendidik anak buahnya dengan pendidikan Islam, malah sebaliknya meruntuhkan Islam. Kalau inilah yang berlaku, pendidikan Islam yang dilakukan oleh guru Agama dalam bilik kelas itu tidak akan berkesan. Dengan demikian, jika berlaku sesuatu yang tidak diingini dalam masyarakat, seperti keruntuhan akhlak dan sebagainya, maka jangan disalahkan orang lain. Kerana itu yang dikehendakai oleh ibu bapa, guru dan masyarakat. Setiap orang akan menegakkan benang basahnya dengan mengatakan ia betul dan orang lain yang salah seperti cerita bangau oh bangau, tetapi kita lupa, bahawa setiap orang akan menjawabnya di hadapan Tuhan.
Malah, dalam pengajaran Pendidikan Islam itu sendiri, jika guru tidak hati-hati, guru hanya menyampaikan maklumat atau pengetahuan Islam sahaja, guru berkenaan tidak mendidik dengan pendidikan Islam. Misalnya, guru Pendidikan Islam atau guru agama mengajar pelajarnya dengan tajuk Syarat Wajib Jumaat. Di akhir pelajaran pelajarnya dapat menyebut syarat-syarat tersebut, maka ini baru tercapai objektif pelajaran. Guru tersebut, sebenarnya belum lagi mendidik pelajarnya dengan pendidikan Islam. Pendidikan itu ialah kata-kata nasihat supaya pelajar menghayati ajaran Islam.
Kalau dalam tajuk ini, guru hendaklah menasihati pelajarnya (lelaki) supaya menunaikan solat Jumaat. Lebih baik lagi, guru mengiringi pelajar ke masjid. Dan sebelum ke masjid, guru patut juga mendidik pelajarnya. Iaitu menasihatkan pelajar supaya jangan bising di masjid. Duduk dengan tertib di dalam masjid dan membaca apa-apa zikir yang baik, seperti membaca al-Quran atau selawat ke atas nabi. Jika ini berlaku, maka barulah dikatakan mendidik dengan pendidikan Islam. Demikianlah seterusnya dalam tajuk-tajuk yang lain, atau pun pelajaran-pelajaran yang lain yang bukan mata pelajaran agama. Bagi guru yang kreatif, ia boleh memasukkan pendidikan Islam melalui pelajarannya.
Ini bermakna, bahawa pendidikan Islam itu mempunyai dua maksud. Pertama bermaksud pendidikan Islam khusus. Iaitu yang merangkumi pelajaran tradisional seperti aqidah, ibadah, tafsir, sejarah, hadis dan sebagainya. Kedua ialah pendidikan Islam umum, yang mana ia merangkumi semua kata-kata nasihat yang boleh membangunkan potensi yang ada pada setiap pelajar melalui semua mata pelajaran sekolah serta melewati segala aspek hidup. Inilah yang dikatakan pendidikan Islam.

Falsafah Pendidikan Islam
Sebelum kita meninjau Falsafah Pendidikan Islam, adalah lebih elok diperincikan dahulu tentang Falsafah Islam itu sendiri dan juga asal perkataan falsafah. Perkataan falsafah berasal daripada bahasa Yunani Kuno, dan dalam pengertian yang bebas ia bermaksud "Cintakan Hikmah"(Al-Syaibany, 1991) Hikmah ialah satu pandangan dan fikiran yang tinggi atau jauh serta matang. Pengamatannya tidak dapat dicapai oleh pengetahuan biasa.
Dalam Oxfort Dictionary (1982) ditakrifkan falsafah sebagai:
"Seeking after wisdom or knowledge especially that which deals with ultimate reality, or with the most general causes and principles of things and ideas and human perception and knowledge of them, physical phenomena and ethics"
Jadi, falsafah merupakan satu usaha untuk mencari kebenaran, (seeking the thruth), dan kebenaran itu sebenarnya hanya Allah. Kalau kita cuba mencari erti hakikat hidup, maka ini adalah falsafah. Hakikat hidup yang sebenar hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Yang kita tahu berdasarkan apa yang diberitahu oleh Allah, maka itulah yang benar dan mutlak. Yang kita fikirkan sendiri menjadi falsafah kita dan tidak bersandarkan kepada kitab Allah, maka itu tidakalah sebenar, ia tidak mutlak dan ianya bersifat relatif. Sebab itu bermacam-macam falsafah timbul hasil pemikiran manusia. Seperti Liberalisme, Idealisme, Asetisme, Eksistensialime, Hedonisme, Kapitalisme, Kommunisme dan banyak lagi. Jika falsasfah itu berpunca daripada Allah atau wahyu, maka ia akan sama sahaja perinsipnya dan juga matlamatnya.
Falsafah Islam ialah falsafah yang berteraskan wahyu, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Jadi apabila seseorang Islam yang faham Islam membincangkan mengenai falsafah, tidak kira sama ada falsafah hidup atau falsafah pendidikan atau pun yang lain-lain, perbincangannya tidak akan lari daripada prinsip dan matlamat Islam. Sebaliknya, seorang Islam yang tidak memahami hakikat Islam, malah ia telah lebih dahulu mendalami falsafah lain daripada Islam, menjadi sangat susah ia menerima falsafah Islam. Malah falsafahnya yang dikatakan Islam itu dalam banyak hal bertentangan dengan kehendak Islam.
Jika falsafah itu diertikan dengan "cintakan hikmah atau kebenaran" maka falsafah Islam bererti cintakan hikmah atau kebenaran yang berasaskan ajaran Islam. Dan ajaran Islam itu bersumberkan wahyu, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Failasuf Islam dari setiap zaman, apabila membincangkan tentang falsafah biasanya mereka tidak akan lari daripada soalan-soalan berikut sebagai asas perbincangan, iaitu: Siapa anda (apa hakikat diri anda)? Dari mana anda datang? Kenapa anda berada di sini (alam dunia)? Kemana anda akan pergi? Apa tujuan hidup? Dan apakah hakikat mati? (Yaljin, 1991).
Perkataan hikmat disebut beberapa kali di dalam Al-Quran dengan maksud yang berbeza mengikut qarinah ayat berkenaan. Hikmah ada kalanya bermaksud bijaksana (surah An-Nahli 125). Mengikut Muhammad Nasir (1978) hikmah di sini bermaksud mengenal golongan. Sheikh Muhammad Abduh pula berkata bahawa "Hikmah itu ialah memahami sesuatu tentang rahsia dan faedahnya".
Untuk memahami sesuatu tentulah memerlukan ilmu, kerana ilmulah penyuluh untuk mengenal sesuatu. Jadi ilmu ini tentulah ilmu yang benar. Dalam versi yang lain Muhammad Abduh mengatakan bahawa "Hikmah itu ilmu yang benar yang menjadi pengerak untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang berfaedah"
Orang yang mempunyai hikmah ini digelar "Hakeem". Ia bermaksud orang yang mahir dalam sesuatu bidang dan melakukannya dengan cukup baik dan halus (Muhammad Nasir, 1978). Adakalanya hikmah itu bermaksud ilmu, iaitu ilmu yang tinggi martabatnya. Ini berdasarkan ayat 269 surah al-Baqarah. Orang yang mempunyai hikmah mempunyai pandangan yang jauh, bukan setakat lima atau enam puluh tahun ke hadapan, tetapi sampai ke alam akhirat. Ini jelas seperti cerita Luqman al-Hakeem di dalam Al-Quran.
Falsafah Islam cuba maencari hakikat manusia dan alam semesta ini. Setelah berusaha mencari dan berfikir berdasarkan wahyu, maka dapat dirumuskan bahawa manusia dijadikan oleh Allah untuk hidup di alam ini sebagai hamba dan khalifah, kemudian mereka akan mati dan akan dipersoalkan tentang tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh Allah. Ini adalah berdasarkan kepada ayat-ayat 55 surah Az-Zariyat, 30 Al-Baqarah, 72 Al-Ahzab, 172 Al-A`raf dan lain-lain.
Falsafah Pendidikan Islam pula ialah falsafah pendidikan yang berteraskan ruh Ialam, iaitu falsafah Islam untuk pendidikan, dan ia disebut Falsafah Pendidikan Islam (Al-Syaibany, 1991). Jadi, maksud daripada Falsafah Pendidikan Islam ialah menyediakan manusia dengan dan ilmu pengetahaun yang cukup agar ia kenal dirinya serta tugas dan tanggungjawabnya, serta mengetahui cara untuk menjalankan atau melaksanakan tanggungjawabnya sebagai hamba dan khalifah Allah. Bila ia dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab ini dengan baik maka jadilah ia insan yang saleh.
Ahli falsafah pendidikan Islam atau failasuf pendidikan Islam ialah orang yang berusaha berfikir mencari apakah perkara-perkara yang perlu dimasuklah ke dalam kurikulum pendidikan. Ini termasuklah ilmu, kemahiran, nilai, pengalaman dan sebagainya, yang mana setelah menjalani pendidikan beberapa lama akan lahir seorang insan yang kenal dirinya, kenal Tuhannya, faham tujuan Allah jadikan segala yang ada, mengetahui hukum-hukum Allah dan mengamalkannya, bertamadun, pandai berkawan sama ada dengan orang Islam atau pun bukan Islam. Antara perkara yang penting yang difokuskan oleh falsafah pendidikan Islam ialah:
Pendidikan Aqidah, Pendidikan Ibadah, Pendidikan Akhlak, Pendidikan Akal, Pendidikan Jasmani, Pendidikan Rohani, Pendidikan Keterampilan, Pendidikan Keibubapaan, Pendidikan Kemasyarakatan, Pendidikan Kepimpinan, dan banyak lagi.
Jadi, berdasarkan falsafah Islam, semua perkara yang disebutkan diatas itu perlu ada dan menjadi tajuk-tajuk penting dalam kurikulum pendidikan Islam. Dengan demikian, barulah dapat melahirkan insan soleh yang mampu melaksanakan tugasnya sebagai hamba dan khalifah Allah dengan betul dan sempurna seperti yang dibincang dalam Matlamat Pendidikan Islam. Penyataan Falsalah Pendidikan Islam yang digubalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, nampaknya ada unsur untuk menuju ke arah ini.

Tujuan dan matlamat pendidikan Islam
Maksud Pendidikan Islam
Pendidikan Islam boleh difahami dengan tiga maksud, iaitu:
1. Pendidikan Islam khas. Hasan langgulung (1995) mengistilahkan dengan Pendidikan Islam Terhad. Ini merangkumi segala ilmu Islam yang terdiri daripada berbagai bidang, seperti Aqidah atau Tauhid, Ibadah atau Fiqah, Tafsir, Hadis, Akhlak, Sejarah atau Sirah, Falak dan lain-lain. Dalam negara Malaysia inilah yang dikenali ramai dengan nama Pendidikan Islam, iaitu satu mata pelajaran dalam sekolah.
2. Pendidikan Islam Umum. Ia melipuli segala bidang hidup manusia, seperti rohani, jasmani, emosi, sosial, politik, budaya, ekonomi, sains, multi media, mass media, teknikal, vokasional, pendidikan, perundangan dan lain-lain. Maknanya, dalam setiap bidang itu ada pendidikan Islamnya. Contohnya dalam ekonomi; kita boleh berinteraksi antara sesama manusia untuk pembangunan ekonomi, tetapi dalam Islam ada beberapa larangan semasa berinteraksi, seperti, tidak boleh tipu, mungkir janji dan sebagainya. Di samping itu ada pula suruhan dan anjuran, seperti mudahkan kira bicara, bertolak ansur, banyak menolong dan memudahkan orang lain dan sebagainya. Demikianlah juga dengan bidang-bidang lain. Secara rengkasnya Islam mendidik supaya kita berinteraksi dengan orang lain mengikut kaedah Islam dan tidak melanggar perintah Islam. Untuk mengetahui apa yang disuruh dan apa yang dilarang memerlukan ilmu. Dan ilmu tidak dapat dengan begitu sahaja, sebaliknya mesti berusaha mencarinya, atau berlajar pada orang yang mengerti.
Pendidikan Islam juga bermaksud Sistem Pendidikan. Ia merangkkumi segala aspek yang berkaitan dengan pendidikan, dan semuanya mesti dilihat dan dilaksanakan mengikut prinsip Islam. Ini termasuklah gurunya, pengurusnya sama ada di sekolah atau di pejabat (Jabatan dan Kementerian), kriteria pemilihan guru, pemilihan kakitangan sekolah dan pejabat, kurikulum, sukatan pelajaran, buku teks, falsafah, matlamat dan segala-galanya mesti berdasarkan kepada prinsip Islam. Kalau tidak berdasarkan kepada prinsip Islam maka ia tidak dinamakan sistem pendidikan Islam, walau pun di dalamnya terdapat pengetahuan agama Islam, seperti pengetahuan Agama Islam yang diajar di sekolah, di maktab, di politeknik, universiti dan lain-lain institusi pendidikan. Kerana pengetahuan Agama Islam itu, atau Tamadun Islam yang diajar itu, merupakan sebagai tempelan atau sulaman sahaja. Akibatnya kita tidak dapat melahirkan orang Islam yang mengamalkan Islam secara total, kerana ia bukan lahir daripada sistem, sebaliknya lahir daripada tempelan. Kalau Pendidikan guru, misalnya, maktab perguruan atau universiti yang bukan mengikut sistem pendidikan Islam, maka kita tidak dapat melahirkan guru Islam yang sebenarnya, yang lahir ialah guru Tampal Sulam (Hasan langgulung 1991). Jadi, sistem yang tampal sulam itu mengeluarkan guru yang tidak lebih daripada Guru Tampal Sulam. Jadi pendidikan Islam itu ialah suatu yang luas dan bersifat holistik, bukan sempit seperti yang difahami oleh kebanyakan orang.

Tujuan Umum Pendidikan Islam
Pendidikan Islam yang dimaksudkan dalam perbincangan ini ialah Pendidikan Islam Terhad, iaitu berdasarkan kepada sub subjek yang ada dalam mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah. Dalam mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah rendah dan menengah terdapat sub subjek seperti berikut:
Sekolah Rendah:
1.0. Asuhan Tilawah Al-Quran.
Ia mengandungi perkara-perkaran yang berkaitan dengan mengenal dan menyebut huruf hijaiyah, membaca, menghafaz dan memahami maksud atau tema ayat yang dibaca dan dihafaz.
2.0. Asas Ulum Syari`yah
Ia mengandungi:AqidahIbadahSirah
3. Asas Akhlak Islamiyah mengandungi asas akhlak dan adab untuk diamalkan oleh orang Islam
Sekolah Menengah
1.0. Tilawah Al-Quran
Ia merangkumi bacaan, hafazan dan kefahaman
2.0. Ulum Syar`iyah (Teras)
Ia mengandungi:AqidahIbadahSirahInstitusi IslamAkhlak
Mata pelajaran (Elektif) mengandungi
Pendidikan Al-Quran dan SunnahPendidikan Syar`iyah IslamiyahTasawwur Islam.
Semua pelajaran ini diajar menuju ke satu matlamat sahaja, iaitu melahirkan insan yang soleh dan bertamadun, yang beriman serta beramal dengan ilmunya, yang mampu memikul tanggung jawab sebagai hamba dan khalifah Allah, bagi membangun diri, keluarga, masyarakat dan negaranya, merangkumi aspek jasmani, rohani, emosi dan intelek berdasarkan prinsip Islam yang dipetik daripada Al-Quran dan As-Sunnah.
Untuk itu, guru seharusnya faham dan jelas tujuan mengajar dan belajar dan segala aktiviti dalam dan di luar bilik darjah. Antara tujuannya berdasarkan sub mata pelajaran ialah seperti berikut:
1. Pengajaran Tilawah Al-Quran. Antara tujuannya ialah:
- Dapat mengenal dan menyebut huruf-huruf Al-Quran dengan betul dan fasih
- Dapat membaca Al-Quran dengan baik, betul dan fasih
- Mengetahui makna ayat-ayat yang dibaca
- Menghayati ajaran ayat yang telah dipelajari
- Menghafaz ayat-ayat tertentu dengan memahami maksud ayat tersebut
Dengan demikian, guru mesti berusaha memperbaiki mutu bacaan Al-Quran, termasuk cara sebutan makhraj dan sifatnya serta lagunya, kerana pelajar akan meniru cara guru membaca Al-Quran. Guru mesti cuba pastikan bahawa setiap kali pelajaran Al-Quran, pelajar mendapat sesuatu yang baru daripada Al-Quran. Dengan cara ini pelajar tidak jemu belajar Al-Quran, malah terasa rugi kalau ia tertinggal, serta ia merasa Al-Quran itu sentiasa baru, bukanya suatu yang ketinggalan zaman. Pelajar mengetahui bahawa Al-Quran sentiasa menyentuh tentang dirinya.
2. Ibadah.
- Supaya pelajar dapat mengetahui apa dia ibadah dan apa jenis-jenis ibadah
- Dapat melakukan ibadat dengan betul, sah dan diterima oleh Allah, seperti solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya
- Dapat pahala ibadat bagi urusan lain dalam hidup. Seperti bekerja, menolong orang, menjaga kebersihan, kesihatan, mengasihi binatang, taat ibu bapa, horamat guru, berkahwin dan lain-lain
- Supaya pelajar tahu apa-apa jenis pekerjaan yang haram bekerja, juga tempat-tempat yang tidak diharuskan bekerja dan yang mana pula yang hurus.
- Pelajar mengetahui jenis-jenis makanan dan minuman yang diharuskan dan yang diharamkan, di samping itu menanam rasa tanggungjawab supaya melakukan yang harus dan menjauhi yang haram
- Mengetahui jenis-jenis tindakan, pekerjaan, pengurusan, serta pentadbiran yang baik yang dianjurkan oleh Islam serta jenis-jenis pengurusan yang salah dari perspektif Islam
- Supaya tingkah laku dan tidndakan pelajar hingga mereka dewasa tidak bertentangaan dengan ajaran Islam.
3. `Aqidah
- Menerapkan `aqidah yang benar kepada pelajar
- Mengukuhkan kepercayaan kepada Allah yang Esa
- Menanamkan keyakinan terhadap rukun-rukun Iman yang enam
- Percaya kepada perkara ghaib seperti yang khabarkan oleh Al-Quran dan As-Sunnah
- Mengelakkan daripada kepercayaan sesat
- Menjauhkan daripada amalan syirik dan khurafat
- Menanamkan roh cintakan agama
- Mencintai Rasulullah dengan bersedia mengikuti sunnahnya dan meninggalkan larangannya
- Mengetahi sifat-sifat Allah dan rasul
4. Akhlak
- Memahami Islam secara syumul
- Memahami konsep akhlak dalam Islam dan mengamalkannya
- Menghayati cara hidup Islam dengan sempurna dan menyeluruh
- Menjauhi cara hidup liar, sesat dan merosakkan
- Melatih tata cara bergaul yang sempurna dan harmoni
- Beradap dengan orang, terutamanya yang lebih tua dan berpangkat
- Bertamadun, iaitu dapat bergaul dengan orang Islam dan bukan Islam, serta mengasihi binatang
- Menjaga alam sekitar
- Rela berjuang untuk menegakkan yang benar
5. Sirah
- Mengenali Nabi s.a.w. dan sahabat dengan lebih dekat
- Mencintai Nabi s.a.w. dan keluarganya
- Menginsafi terhadap perjuangan Nabi s.a.w. dan para sahabat dalam menegakkan agama Islam
- Merasai betapa susahnya hendak menegakkan agama Islam – Untuk masa sekarang – ialah untuk mengamalkan ajaran Islam
- Mengenali ulama dan pejuang-pejuang Islam
- Meniru dan mengambil pengajaran daripada perjuangan orang yang terkemuka
- Menyelidik hasil karia orang terkemuka dan mengambil faedah daripadanya
6. Institusi Islam
- Mengenal Islam sebagai agama yang mempunyai organisasi yang cukup lengkap
- Mengetahui jenis institusi Islam dan peranannya; seperti institusi keluarga, masyarakat, kehakiman, perundangan, pendidikan, kewangan, pemerintahan, syura, ketenteraan, keselamatan, sosial dan sebagainya
- Mengetahui dengan lebih dekat peranan setiap institusi dan kepentingannya terhadapat pembangunan masyarakat Islam setempat dan masyarakat sesebuah negara

KesimpulanJadi, guru hendaklah bersedia sebelum memasuki kelas berdepan dengan pelajar. Guru harus faham terlebih dahulu tujuan ia mengajar mata pelajaran berkenaan. Guru sentiasa bertanya kepada dirinya; Apakah sampai objektif pengajaran dan pembelajaran, dan apakah sampai tujuan yang tersirat di dadanya. Guru harus pastikan bahawa setiap kali ia masuk kelas ada suatu yang baru yang disampaikan atau, pelajar merasakan ada suatu yang baru setiap kali mengikuti kelas. Maka dengan ini pelajar tidak merasa jemu mengikuti kelas Pendidikan Islam, kerana mereka sentiasa dapat sesuatu yang baru. Guru juga patut renungkan, apakah ada kemungkinan besar tercapai matlamat pendidikan - dalam masa sekian-sekian tahun itu - untuk melahirkan generasi Islam yang faham Islam dan mengamalkan Islam. Yang boleh membaca Al-Quran dengan baik dan menghayati kandungan dan ajarannya. Jika ini berlaku, maka sejahteralah guru itu dunia dan akhirat. Hidupnya bahagian dunia dan akhirat. Tidak terasa tertekan, tidak terasa lemah, tidak pernah merasa tidak cukup wang. Ia sentiasa kaya daripada orang lain, walaupun gajinya lebih kecil daripada orang lain. Yang dia rasa ialah perjuangannya belum cukup. Inilah dia Muallim, Murabbi, Muaddib dan Daie.

Kaedah Pengajaran
Ada dua perkataan yang hampir-hampir sama maksudnya dengan kaedah dan ia memang tergolong dalam kaedah juga, iaituteknik dan pendekatan. Mok Soon Seng (1992) mengatakan pendekatan ialah cara mendekati sesuatu mata pelajaran. Iaitu cara bagaimana suatu mata pelajaran diajar berdasarkan objektifnya. Jadi ia merupakan satu set teori yang sistematik. Kaedah pula ialah satu siri tindakan yang sistematik dengan tujuan mecapai objektif pelajaran dalam jangka masa pendek. Kaedah mengajar ialah cara mendekati sesuatu objektif pelajaran dengan langkah penyampaian yang tersusun (Mok Soon Seng 1992). Manakala teknik pula ialah kemahiran guru dalam pengelolan dan pelaksanaan kaedah mengajar dalam sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Mengikut Azman Wan Chik (1987) teknik itu apa yang dilihat dalam bilik darjah. Kalau guru mengajar bahasa dengan menggunakan alat-alat komunikasi canggih dalam makmal bahasa, maka itu satu teknik. Sekiranya seorang guru Pendidikan Islam mengajar pelajar menghafaz Al-Qur`an dengan mendengar bacaan dalam pita kaset, maka ini dikatakan teknik.
Sharifah Alwiah Alsagoff (1986) mengatakan bahawa kaedah mengajar ialah peredaran ke arah satu tujuan pengajaran yang telah dirancangkan dengan teratur. Hasan Langgulung (1981) pula mengatakan bahawa kaedah itu sebenarnya bermaksud jalan untuk mencapai tujuan. Jadi, apa saja cara yang guru lakukan untuk memberi faham kepada pelajar bagi mencapai objektif pengajaran, maka itu adalah kaedah. Melihat kepada misal-misal yang diutarakan oleh Sharifah Alwiah Alsagoff (1986), Mok Soon Seng (1992), Rashidi Azizan & Abdul Razak Habib (1995), Atan Long (1980) dan Mahfudh Salahuddin (1987), nampaknya yang dikatakan kaedah itu ialah yang ada nama, seperti kaedah kuliah, demonstrasi, Socrates, simulasi, inquiri penemuan, Forebel dan sebagainya.
Abu Saleh (1988) mengatakan bahawa kaedah itu ialah satu aktiviti pengajaran yang mengandungi langkah-langkah yang tersusun dan dalam tiap-tiap langkah itu pula mempunyai kemahiran dan latihan yang terancang. Padanya, kaedah mengajar bukanlah tujuan utama pengajaran, tetapi ia merupakan wasilah, iaitu satu jalan untuk mencapai obektif pengajaran.
Demikian juga dengan Hasan Langgulung (1981) mengatakan bahawa kaedah itu sebenarnya bermaksud jalan untuk mencapai tujuan. Jadi apa sahaja cara tiandakan dan aktiviti yang dilakukan oleh guru untuk memberi faham kepada pelajar bagi mencapai objektif pengajaran maka itu adalah kaedah, walau pun ia tidak mempunyai nama-nama khas, seperti yang dibawa oleh Sharifah Alwiah, Atan Long (1981) dan lain-lain.
Berdasarkan kepada ini bermakna tidak ada satu kaedah yang terbaik untuk semua mata pelajaran bagi semua pelajar dalam semua keadaan. Kaedah harus berubah mengikut keadaan masa, tempat dan pelajar. Dengan demikian, guru harus pandai memilih kaedah yang baik, yang sesuai dengan keadaan masa, tempat dan pelajar.
Al-Kailany (1986) menyenarai sedikit panduan kepada guru sebelum mengaplikasi sesuatu kaedah pengajaran, antaranya ialah:
1. kaedah mestilah secucuk dengan tujuan dan matlamat pelajaran
2. kaedah mesti sejajar dengan objektif pelajaran yang hendak dicapai
3. kaedah juga haruslah sesuai dang tabiat (nature) pelajaran yang diajar
4. kaedah mesti sepadan atau setara dengan umur pelajar
5. kaedah itu mestilah yang boleh atau mampu diaplikasi oleh guru
6. mempunyai masa yang cukup untuk mengaplikasikan kaedah bekenaan
7. kaedah yang dipilih mestilah sesuai dengan kemudahan yang ada.
An-Nashmy (1980) mencadangkan supaya guru memilih kaedah yang boleh memberi kesan yang mendalam bukan sahaja kepada kefahaman pelajar yang diajar, malah yang memberi kesan kepada jiwa dan menyentuh perasaan pelajar. Dengan cara ini pelajar akan memberi tumpuan yang padu dan dapat mengingati pelajaran dengan lebih cepat dan bertahan lebih lama. Untuk mencapai hasrat ini guru haruslah pandai memilih pendekatan yang sesuai dan teknik yang menarik dan ditambah pula dengan Bahan Bantu Mengajar (BBM) yang canggih dan menarik.
Kaedah pengajaran yang baik ialah yang mempunyai langkah-langkah dan strategi yang tersusun serta objektif yang tepat dan boleh dicapai. Di samping itu, matlamat yang hendak dituju juga mestilah terang dan jelas. Strategi pengajaran ialah satu yang sangat penting dalam setiap aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Congelosi (1992) mencadangkan bahawa setiap pengajaran harus terlebih dahulu disediakan rancangannya dan dalam rancangan pengajaran ini harus mempunyai perkara-perkara berikut, iaitu:
1. Tujuan am (learning goal)
2. Objektif pelajar (specific objective)
3. Langkah-langkah pengajaran yang mengandungi aktiviti-aktivit tertentu untuk menolong pelajar mencapai objektif pelajaran
4. Perlu ada makanisma untuk memantau kemajuan pelajar

5. Penilaian (sumative evaluation) untuk mengukur pencapaian pelajar

Kata Cangelosi (1992):
Learning goal is the overall purpose of the teaching unit. It indicates what students are expected to learn.
Specific objective, define the learning goal. That is a number of specific skills, abilities, and/or attitude that the student to/or must acquire. (ms. 24)
Perrott (1986) menerangkan semua aktiviti itu dalam tiga istilah yang lebih mendasar, iaitu:
Planning
Implementation
Evaluation

Tiga perkara ini dan juga langkah-langkah yang dikemukakan sebelum ini merupakan asas pengajaran yang berkesan, di sampiang pengetahuan yang patut ada pada guru. Langkah-langkah ini disusun demikian rupa untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran sesuatu yang menarik dan berkesan. Ini yang dikatakan pengajaran yang berkesan (effective teaching). Pengajaran dan pembelajaran yang baik, menarik dan berkesan tidak dapat diwujudkan jika tidak memenuhi kriteria tertentu seperti yang dibincangkan di atas. Guru yang mampu menjalankan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan ini ialah guru yang didikasi, mempunyai wawasan yang jelas dan mengajar dengan penuh semangat untuk mencapai objektif yang terancang dengan langkah-langkah yang tersusun dengan menggunakan BBM yang menarik dan dengan pergerakannya yang cukup lincah. Inilah dia guru yang efektif (effective teacher).
“…effective teacher is one who is able to demonstrate the ability to bring about intended learning goals”. Parrott (1986:5)

Oleh itu, guru haruslah merancang dengan cukup rapi sebelum memasuki kelas. Ini termasuklah strategi pengajaran yang merangkumi isi kandungan, objektif yang hendak dicapai, pendekatan, kaedah dan teknik penyampaian, BBM yang sesuai dan penilaian yang akan dijalankan. Satu yang perlu diingatkan ialah tentang pendidikan Islam atau penerapan nilai Islam. Ini juga harus dirancang dengan saksama. Iaitu apa yang hendak dipesan kepada pelajar, apa nasihat yang akan diberi, apa nilai yang hendak ditonjokan supaya pelajar ikut dan contohi dan sebagainya. Guru harus sedar bahawa mata pelajaran Pendidikan Islam bukan sahaja untuk lulus peperiksaan, tetapi untuk menjadi seorang Islam yang beramal dengan ajaran Islam dengan cara yang betul.
Jadi, penekanannnya ialah penghayatan Islam, bukannya peperiksaan. Kalau guru mengajar terlalu terikat dengan orientasi peperiksaan, guru hanya berjaya menyampaikan ilmu Islam, tetapi gagal memberi pendidikan Islam, iaitu gagal mendidik anak-anak untuk menjadi orang Islam bagi memikul tugasnya sebagai hamba dan khalifah Allah.
Demikian juga dengan istilah guru berkesan (effective teacher). Ia bukan sahaja memberi kesan dalam bidang pelajaran yang diajar, mudah faham dan diminati oleh pelajar, tetapi yang boleh menjadi contoh kepada pelajar dari segala aspek personaliti, kerana personaliti guru mempengaruhi sikap pelajar (Huitt, 1994). Ini termasuklah gaya bercakap, kekemasan berpakaian, penghayatan nilai Islam, penjagaan masa pengajaran (engagement time), ketepatan masa dalam setiap perjanjian, keadilan dalam layanan dan sebagainya. Ini semua mencerminkan guru muslim (Al-Ghazali, 1988; Al-Ibrashy, 1976).




Persediaan Awal Mengajar

Ada beberapa perkara yang perlu diambil perhatian sebelum memulakan pengajaran. Antaranya ialah:
1. Mengenal diri.
Apabila kita menceburkan diri di dalam bidang perguruan, kita harus sedar siapa kita. Kita sebagai seorang guru dan dalam kategori mana. Dalam bahasa Arab, guru boleh diterjemahkan dengan berbagai istilah, seperti mudarris, mu`allim, murabbi, muaddib, dai`e, raais, nasih dan lain-lain
Mudarris bermaksud guru yang mengajar dan menyampaikan maklumat kepada orang lain. Guru ini boleh jadi orang Islam dan bukan Islam. Kalau dia orang Islam, boleh jadi yang taat atau yang tidak taat. Perkara yang diajar boleh jadi yang baik atau pun tidak baik. Yang mengajar ilmu sihir pun mudarris, demikian juga yang mengajar ilmu salah atau ajaran sesat. Semua mereka ini termasuk dalam kategori mudarris.
Mu`allim ialah guru yang mengajar ilmu yang benar. Surah al-Baqarah ayat 31 menerangkan penggunaan kalimah mu`allim yang membawa makna mengajar perkara yang benar.
Murabbi pula bermaksud mendidik. Iaitu mendik dengan perasaan kasih dan sayang. Walau pun perkataan ini digunakan juga untuk perkara lain, seperti memellihara binatang dan pokok, tetapi apabila dipakai kepada manusia ia bermaksud mendidik anak-anak didik dengan penuh perasaan kasih sayang. Pemakaian ini disentuh di dalam surah al-Isra ayat 24, di mana Allah mengajar manusia supaya berdoa kepada Allah agar Allah mengasihi ibu bapa kita seperti mana mereka mendidik dan mengasihi kita semasa kita kecil dahulu. Dalam istilah ini terangkum juga di dalamnya menasihat dan membimbing.
Muaddib bermaksud mengajar adab. Apa yang diajarkan kepada murid atau anak-anak, sama ada bentuknya ilmu, kisah, permaianan, maka semuanya itu menjurus kepada mendidik anak-anak supaya beradab. Ilmu itu ialah adab, menuntut ilmu juga ialah adab, semasa menunutut ilmu kita perlu beradab, tanpa beradab ilmu menjadi tidak berkat. Dengan itu, sebelum mengajar pengetahuan berkaitan, ajar dahulu cara-cara dan adab-adab belajar.
Dai`e bermakana orang yang mengajak orang lain berbuat kabajikan. Ini maknanya guru bukan sahaja menyampaikan pelajaran, tetapi mengajar dan mengajak muridnya melakukan kebajikan dan meninggalkan kejahatan. Dengan itu guru haruslah terdiri daripada orang yang melakukan kebajikan.
Raais bermaksud ketua atau pemimpin. Di dalam sekolah guru adalah ketua. Apa sahaja kata guru akan diikut oleh murid. Ketua yang berwibawa haruslah mempunyai beberapa kriteria supaya sesuai dengan tugasnya sebagai guru dan ketua. Antaranya, ilmu, perwatakan, ketokohan, kewibawaan, akhlak, sikap dan penghayatan Islam.
Nasih dari segi bahasa ialah penasihat atau orang yang memberi nasihat. Maksudnya di sini ialah kaunselor. Jadi guru haruslah menyediakan masa untuk mendengar masalah murid dan seteruskan memberi cadangan, bimbingan dan nasihat. Ia tidak terhad kepada hal-hal pelajaran sahaja, malah ia boleh juga mengenai hal-hal sikap, tujuan hidup, kerjaya dan sebagainya.
Sekarang, cuba renungkan. Kita berada dalam ketegori mana? Sepatutnya bukan satu. Semua nilai-nilai itu ada pada setiap orang guru. Dengan itu barulah pengajarannya memberi kesan yang baik, bukan sahaja dalam aspek kognitif, malah dalam psikomor, affektif dan perasaan.
2. Menguasai Ilmu
Dalam hal ini ilmu boleh dibahagikan kepada 3 jenis, iaitu Ilmu bidang, Ilmu Fardhu Ain dan Ilmu alat.
Ilmu Bidang ialah ilmu yang kita dianggap pakar dalam bidang berkenaan dan itulah ilmu yang kita ajarkan kepada orang lain. Dinisbahkan kepada guru Agama, maka ilmu agama lah bidang kita. Justeru guru agma mesti dalam pengetahuannya tentang agama serta permasalahannya dan mantap kefahamannya. Jika guru sains, maka pengetahuan sainsnya mesti baik. Demikianlah dengan pelajaran lain. Sekirannya guru tidak menguasai bidangnya sendiri, ia tidak dapat menyampaikan pengajarannya dengan baik dan berkesan serta tidak dapat menjawab persoalan yang dikemukan oleh murid kepadanya.
Ilmu Fardhu Ain bukan berksud hukum-hukum bersuci, solat, puasa, zakat dan haji. Ini ialah Asas Fardhu Ain. Fardhu Ain di sini bermksud ilmu tentang tanggungjawab setiap orang Islam, termasuk mengetahui haram halal dan sebagainya. Seorang peniaga harus mengetahui apa perkara yang boleh diperniagakan dan apa yang dilarang oleh Islam. Sebagai pegawai apa yang perlu ia lakukan terhadap pejabatnya dan orang yang di bawahnya. Guru pun demikian juga. Adakah mengajar sahaja atau ada kerja-kerja lain yang perlu dilakukan. Jika tidak dilakukan seperti yang ditetapkan apa akibatnya. Ini semua memerlukan ilmu agama khasnya yang bekaitan dengan amanah dan tanggungjawab.
Ilmu Alat pula bermaksud ilmu yang perlu bagi menjalankan tugas dengan lebih sempurna. Ini juga berdasarkan kepada bidang masing-masing. Kerani misalnya memerlukan kemahiran menaip, simpan kira dan lain-lain. Guru memerlukan ilmu yang berkaitan dengan pengajaran, iaitu psikologi, pedagogi, sosiologi, prinsip-prinsip pengajaran, perkaedahan, penilaian, kepimpinan, bahasa dan lain-lain.
3. Mengenal murid. Ini termasuklah mengenal nama murid dan anak siapa. Adakah murid ini bermasalah sama ada dari segi kesihatan perangai dan lain-lain. Mengetahui tahap umurnya, mengenal ibu bapa, sosioekonomi, dan tujuan murid itu dihantar ke sekolah. Adakah untuk belajar atau memenuhkan masa, atau untuk mendapat sesuatu sahaja, bukan semua pelajaran yang ditetapkan dan sebagainya.
4. Mempunyai kepakaran pengurusan bilik darjah. Di dalam bilik darjah terdapat murid-murid dan benda-benda lain seperti kerusi, meja, papan tulis gambar dan lain-lain. Guru perlu tahu bagaiman hendak mengurus segala kelengkapan bilik darjah supaya sesuai dengan mata pelajaran yang diajar dan nampak ceria dan kondusif. Bagaiman hendak mengawal kelas supaya pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan baik dan berkesan. Ini termasuklah kedudukan murid di dalam kelas. Yang kecil, yang besar, yang degil, yang lemah, yang kurang pendengaran, yang kurang pengelihatan, dan lain-lain.
5. Menguasai kemahiran starategi pengajaran. Strategi pengajaran ada dua, iaitu Strategi Profesional dan Strategi Kasih Sayang. Strategi profesionl termasuklah merancang, memilih tajuk, menyusun fakta, menyusun langkah-langkah pengajaran, pembinaan soalan dan sebagainya. Manakala strategi kasih sayang ialah pendekatan sebagai ibu atau bapa kepada anak-anak. Menolong, menasihat, bermesra dengan menggunakan bahasa isyarat dan body language setakat yang dibenarkan.

Model Transactional

Model ini diperkenalkan oleb Bill Huitt (1994). Beliau ialah salah seorang pensyarah (Prof) di Valdosta State University, Georgia, USA. Mengikut kaedah ini, setiap guru yang merancang pengajaran mesti terlebih dahulu kenal pasti apa yang hendak dicapai oleh pelajar di akhir pelajaran. Ia menggunakan istilah output. Padanya output inilah yang paling penting, kerana semua akativiti lain harus sesuai dengan output. Jadi, setiap guru harus lebih dahulu jelas dengn output. Output ini samalah dengan objektif khas atau objektif pembelajaran seperti yang dibincangkan oleh Parrott (1996) dan Cangelosi (1992).
Dalam mata pelajaran Pendidikan Islam misalnya, guru hendakkan pelajar boleh menyebut rukun-rukun wudhuk, dan ini menjadi objektifnya atau output. Dengan demikian, guru haruslah merancang penyampaiannya mengikut kaedah dan teknik yang sesuai. Antaranya mengulang-ulangkan rukun tersebut sehingga pelajar dapat mengingati dan menyebutnya. Sebaliknya, jika objektifnya ialah –pelajar boleh mengambil wudhuk dengan betul- maka tentulah kaedah pengajarannya berlainan, iaitu menggunakan kaedah tunjuk cara (demonstrasi) dan amali atau lakunan. Dengan menggunakan kaedah ini pelajar lebih faham dan ingat kerena mereka melakunkan atau melakukannya sendiri secara praktikal. Pelajar boleh mengambil wudhuk dengan cara yang betul itulah yang dikatakan out put atau objektif khas.


Input
Karakteristik guru
Karakteristikmurid


Classroom process
pelakuan guru
Pelakuan murid
Keadaan kelas



Output
Pencapaian
Murid
Danlain-lain







Penyamapaian pelajaran yang menggunakan berbagai kaedah itu dipanggil classroom process. Pada Bill Huitt (1994), peringkat ini mengandungi tiga sub- kategori, iaitu pelakuan guru, pelakuan murid dan keadaan kelas yang mana ketiga-tiganya saling bertindak.
Pelakuan guru mengandungi tiga perkara pokok iaitu, perancangan (planning), pengurusan (management) dan pengajaran (instruction). Perancangan ialah segala aktiviti yang dirancangkan oleh guru untuk berinteraksi dengan murid. Pengurusan bermaksud kawalan kelas, iaitu bagaimana guru mengawal pelajarnya supaya semua terlibat dengan aktiviti pembelajaran. Pengajaran pula bermaksud panduan sebenar yang diberi oleh guru semasa menyampaikan isi pelajaran.
Kategori kedua, iaitu pelakuan murid/pelajar ialah apa sahaja yang pelajar akan lakukan dalam bilik darjah, seperti menulis, mendengar, menyoal, bekerja dan sebagainya. Dan yang dimaksudkan dengan keadaan kelas ialah sama ada kelas itu sesuai atau tidak; seperti gelap, terlalu panas, terlalu sejuk, terlalu bising atau sebaliknya selesa dan kondusif.
Semua ini, - guru, murid dan kelas – sama-sama memainkan peranan untuk melahirkan out put yang diharapkan. Jika ada kekurangan di mana-mana satu daripada 3 komponen ini, maka akan menjejaskan output, atau dalam kata lain, objektif tidak tercapai sepenuhnya.
Perkara ketiga dalam modul ini ialah input. Ia merujuk kepada keadaan guru dan pelajar sebelum memasuki kelas. Ini termasuklah perkara-perkara seperti sikap guru, pengetahuan, kepercayaan, pemikiran, kemahiran interaksi, pengalaman, kemahiran manipulatif dan juga personaliti. Demikian juga dengan pelajar. Banyak perkara yang ada pada pelajar yang memberi implikasi kepada pengajaran dan pembelajaran, seperti kebolehan, kemahiran dalam bidang-bidang tertentu, latar belakang keluarga, personaliti dan lain-lain.
Yang paling penting dalam semua perkara ini ialah guru. Sejauh mana guru dapat mempersembahkan pengajarannya bergantung kepada kefahaman, kebolehan, kemahiran, kesungguhan, kemahuan, keprcayaan serta nilai yang dipegang.
Dalam membicarakan konsep pengajaran dan pembelajaran ini terdapat satu perkara lagi yang mesti diambil kira, iaitu Context. Ia menyebabkan banyak variabel yang mempengaruhi pengajaran dan pembelajaran . Antaranya ialah suasana di sekolah, rakan sebaya, rumah tangga, masyarakat, agama, politik, ekonomi, media dan banyak lagi. Semua ini akan mempengaruhi pembelajaran murid dan pada kebiasaanya menjurus kepada pelakuan yang berunsur negatif. Dalam pendidikan Islam, semua ahli masyarakat, sama ada dalam sekolah atau di luarnya, sama-sama bertanggungjawab menjaga supaya tidak ada perkara yang mempengaruh pembelajaran pelajar, seperti video game, gambar lucah, dadah dan sebagainya. Kerana semua ini menyebab pelajar terjurus kepada pelakuan negatif yang merugikan diri, keluarga, bangsa, agama dan negara.


Transactional Model oleh Huitt (1994)

Berdasarkan kepada rajah yang dibentangkan ini, jelas menunjukan bahawa pembelajaran berlaku di mana-mana. Ada unsur yang tidak Islamik di rumah, sekolah, masyarakat, rakan sebaya, dalam politik, ekonomi, sosial dan sebagainya boleh menyebabkan pendidikan Islam tidak berkesan, kerana segala unsur yang bertentangan dengan ajaran Islam itu mempengruhi pelajar dan sekali gus mengheretnya kepada pelakuan negatif.
Berbalik kepada pengajaran pendidikan Islam, guru merupakan unsur terpenting dalam membina sahsiah dan juga kemahiran pelajar. Contohnya, dalam kemahiran bacaan Al-Quran, kebolehan dan keelokan bacaan pelajar ialah bergantung kepada bagaimana guru membaca sebagai bacaan contoh kepada pelajar. Jika bacaan guru baik dari segi makhraj dan sifat huruf, panjang pendek, dengung dan lagunya, maka bacaan pelajar juga akan baik. Demikian juga sebaliknya. Pelajar tidak akan dapat membaca dengan baik jika tidak ada contoh bacaan yang baik daripada guru.
Jika guru mengajar cara melakukan Tayammum di dalam kelas, dan guru tidak begitu jelas dan tidak mahir, maka pengajarannya menjadi tidak jelas, tujuk-cara yang dilakukan tidak tepat, dan dengan ini menyebabkan pelajar tidak dapat melakukan atau melakunkan Tayammum dengan cara yang tepat. Dengan ini sampai ke tua amalan pelajar itu tidak kena. Kenapakah amalan pelajar tidak kena? Kerana tunjuk ajar gurunya tidak kena. Inilah pengajaran dan pembelajaran.
Demikian juga dalam hal-hal lain. Dalam kekemasan pakaian misalnya, ketepatan masa, keelokan bahasa percakapan dan lain-lain, semuanya memberi kesan kepada pelajar. Inilah yang dikatakan belajar melalui konteks. Dengan demikan, guru haruslah memelihara perkara- perkara ini dan memperbaiki di mana-mana yang ada kelemahan. Tujuannya ialah supaya murid belajar sesuatu yang baik daripada guru (selain daripada konten sukatan pelajaran). Yang baik itulah Islam dan yang dipelajari itulah pendidikan Islam.

Contoh Kaedah Pengajaran

Kaedah Perbincangan
Tujuan:
- Menggalakkan pertukaran idea secara bebas tentang sesuatu topik.
- Merangsang minat dan membimbing pelajar mendapat pengetahuan baru.

Persediaan
- Guru merancang atau menentukan isu utama yang akan dibincangkan
- Mengemukakan tajuk
- Mulakan perbincangan dengan mengemukan soalan
- Memastikan setiap pelajar berpeluang memberi pendapat, mengemukakan soalan atau bertindak balas terhadap idea yang dikemukakan
- Menggalakkan penilaian secara objektif semasa idea dikemukakan
- Meringkaskan atau merumuskan idea-idea dan buat kesimpulan
(Kesimpulan boleh juga dilakukan oleh pelajar)

Kaedah Sumbang Saran
Tujuan:
- Menggalakkan pelajar menggunakan pemikiran imaginatif secara kreatif
- Untuk mendapat idea baru sebanyak mungkin dalam sesuatu isu

Pelaksanaan
- Guru menerangkan tujuan, dan mengemukkan persoalan yang menjadi fokus sesi berkenaan
- Tidak mengkritik idea orang lain
- Mengumpul sebanyak idea yang mungkin
- Idea dinyatakan secara spontan
- Idea yang dikemukan oleh rakan boleh dikembangkan oleh pelajar lain
- Guru hendaklah bersikap positif terhadap idea pelajar
- Guru berperanan sebagai pengadil dan menguatkuasa peraturan
- Menggesa supaya setiap pelajar mengemukakan idea walaupun tidak penting

Kaedah Perbahasan
Tujuan:
- Membolehkan pelajar berbincang tentang isu atau persoalan yang dibentangkan
- Mengasah kebolehan pelajar dalam percakapan & menganalisis maklumat

Pelaksanaan
- Guru menentukan tajuk perbincangan
- Menentukan pelajar yang mengambil bahagian
- Menentukan bilangan ahli bagi setiap kumpulan (3 atau 4 orang)
- Melantik pengadil dan pengerusi majlis
- Menentukan masa setiap ahli bercakap
- Menentukan masa bagi setiap kumpulan membuat persediaan dan menggulung perbahasan
- Menentukan tidak ada gangguan semasa perbahasan dijalankan
- Pelajar lain boleh boleh ambil bahagian jika ada masa


Kaedah Bercerita
Tujuan
- Melatih kemahiran mendengar di kalangan murid
- Mengulang sebut fakta daripada cerita

Pelaksanaan
- Guru menyediakan ringkasan dan fakta cerita
- Menyediakan alat-alat yang perlu untuk menerangkan fakta. Contoh, peta kedudukan tempat, benda-benda maujud seperti pedang dan sebagainya untuk menggayakan cerita dengan lebih menarik dan berkesan.
- Menarik perhatian pelajar kepada cerita dan pesankan supaya mencatat fakta penting
- Guru bercerita dengan suara yang kuat yang boleh didengan oleh seluruh kelas
- Bercerita dengan nada dan intonasi suara yang betul, gaya atau gerak-geri serta memek muka yang sesuai mengikut situasi
- Memberi soalan setiap langkah, seperti “Kamu tahu, lepas itu apa yang terjadi kepada Rasulullah s.a.w.?” dsb.
- Memberi soalan kefahaman di akhir pelajaran.


Kaedah Tunjuk Cara (Demonstrasi)
Tujuan
- Pelajar dapat melihat dengan jelas perkara yang belaku
- Pelajar dapat melakunkan semula dengan cara yang betul

Pelaksanaan
- Guru merancang bagaimana dan di mana hendak mengadakan tunjuk cara ini
- Pastikan semua pelajar dapat melihat pertunjukkan itu dengan jelas. Jika pelajar ramai, pecahkan kepada kumpulan-kumpulan kecil seupaya semuanya dapat melihat dengan jelas
- Guru tunjuk atau lakunkan dengan betul supaya dapat dilihat dan difahami oleh pelajar
- Bertanya jika ada yang kurang jelas atau tidak faham, jika perlu tunjuk semula
- Minta beberapa orang pelajar melakunkan semula untuk menguji kefahaman mereka


Kaedah Rehlah atau Lawatan
Tujuan
- Menambah pengalaman murid
- Melatih kepimpinan dan tanggungjawab bagi setiap murid

Pelaksanaan
- Guru kenalpasti tempat yang akan dilawati
- Seelok-eloknya guru pernah melawat tempat itu
- Membuat persediaan awal:
+ Memberitahu guru besar/pengetua
+ Memaklumkan PPD/Jabatan Pendidikan Negeri
+ Hubungi tempat menginap dan buat tempatah jika perlu bermalam..
+ Memaklumkan ibu bapa/penjaga. Dapatkan surat kebenaran bertulis dan bertandatang daripada ibubapa membenarkan anaknya mengikuti program
+ Memaklumkan tempat yang hendak dilawati, dan minta kerjasama jika
perlukan pemandu (guide)
+ Membuat aturcara tempat-tempat lawatan dan masa
- Berpesan kepada pelajar supaya membawa buku nota dan pen
- Berpesan supaya pelajar mencatat apa yang mereka lihat, tujuannya untuk perbincangan dalam kelas selepas balik nanti


Perkhemahan dan Perkelahan
- Kenalpasti tempat perkhemahan, jika perlu buat tempahan terlebih dahulu
- Sediakan program di tempat perkhemahan
- Sediakan senarai tugas yang akan dilakukan oleh murid secara kumpulan
- Bahagikan pelajar mengikut kumpulan dan beri tanggungjawab, seperti memasak, menyediakan makanan, tempat permainan, tempat solat dll.
- Hidupkan solat secara berjamaah
- Adakan tazkirah ringkas selepas setiap solat Jamaah
- Guru merumuskan hasil perkhemahan/perkelehan.


Klasifikasi Ilmu

Pembahagian Ilmu Dalam Pendidikan Islam

Pendidikan Islam mempunyai dua maksud. Pertama pendidikan Islam Umum dan kedua pendidikan Islam khusus (Hasan Langgulug, 1995). Pendidikan Islam umum ialah pendidikan yang diberi kepada orang Islam dalam semua keadaan, seperti di sekolah, di rumah, di kedai, di hospital, di jalan dan lain-lain. Ia termasuk dalam semua hal, dalam ekonomi, sosial, politik, teknik, pelajaran, permainan, sukan, pekerjaan dan sebagainya. Pendidikan Islam khusus ialah mata pelajaran sekolah, iaitu yang termasuk di dalamnya ilmu-ilmu seperti Tauhid, Fiqah, Tafsir, Hadis, Akhlak dan sebagainaya. Jadi, bila disebut pendidikan Islam, ia tidak semestinya bermaksud mata pelajaran agama di sekolah, malah ia bermaksud lebih luas lagi, iaitu segala usaha untuk mendidik orang Islam menjadi muslim.
Dengan demikian, jelas kepada kita bahawa pendidikan Islam itu ialah satu usaha mendidik insan muslim melalui nasihat, pengetahuan, ilmu, penghayatan, contoh, sekolah, rumahtangga, masyarakat, alam sekitar dan lain-lain. Mata pelajaran sekolah ialah Pengetahuan Agama Islam atau Agama atau Ilmu Agama, atau Pengetahuan Islam. Pendidikan Islam sepatutnya terdapat dalam semua mata pelajaran sekolah yang disampaikan oleh semua guru yang beragama Islam, manakala ilmu Agama itu merupakan satu wadah dalam pendidikan.
Hasil daripada kajian oleh Jawatankuasa Mengkaji Mata Pelajaran Agama Islam 1974 yang dilaporkan melalui Jawatankuasa Kabinet 1979, mendapati pendidikan Islam tidak berkesan atau kurang berkesan, kerana guru lebih mementingkan ilmu dan maklumat untuk lulus peperiksaan sehingga tidak sempat hendak mendidik (Zainal Abidin Abd. Kadir, 1994). Maka pada awal tahun 1980an ditukarkan nama Pengetahuan Agama Islam kepada Pendidikan Islam dengan harapan agar tercapai hasrat mendidik anak-anak orang Islam. Lanjutan daripada itu nama Kementerian Pelajaran pun ditukar kepada Kementerian Pendidikan, Bahagian Latihan Guru (BLG) ditukarkan kepada Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Bahagian Pelajaran Agama ditukar kepada Bahagian Pendidikan Islam, dan lain-lain.
Ini merupakan satu langkah yang baik, tetapi, jika guru tidak faham konsep pendidikan Islam dan tidak melaksanakannya seperti yang dihasratkan, apa yang dilakukan hanya memberi maklumat sahaja, maka pendidikan Islam menjadi tidak berkesan.
Sekolah merupakan institusi formal dalam proses memberi pendidikan Islam. Pendidikan diberi berdasarkan disiplin ilmu. Disiplin ilmu lslam khusus yang ada di sekolah ialah Aqidah, Ibadah, Akhlak, Sirah serta Tilawah Al-Quran (Lihat sukatan pelajaran Pendidikan Islam menengah dan rendah, 1997). Selain daripada itu, pendidikan Islam juga diberi secara tidak formal melalui aktiviti kokurikulum sekolah. Seperti bekerjasama, budaya ilmu, solat berjamaah, amanah, kebersihan, mengikut peraturan, makan beradab, tepat masa, hormat guru, mengucap salam sesama Islam, ucapan selamat kepada yang bukan Islam dan banyak lagi. Ini semua adalah pendidikan Islam.
Matlamat akhirnya ialah melahirkan individu muslim yang faham Islam dan faham ilmu-ilmu Islam, seterusnya menghayati ajaran Islam dalam hidupnya dengan bahagia, berkeluarga, bermasyarakat, bertamadun, serta mendapat kesejahteraan selepas matinya.
Pada zaman Rasulullah s.a.w. dan zaman sahabat tiak terdapat disiplin ilmu seperti di atas. Yang ada pada masa itu ialah Al-Quran dan Sunnah Rasul s.a.w. Semua itu sumber ilmu Islam, dan tidak pun disebut sebagai ilmu Tauhid, Feqah dan sebagainya. Apabila membincangkan konsep ketuhanan, tentang kepercayaan kepada Allah dan hari Akhirat, maka itu Tauhid-lah namanya. Apabila membaca ayat Al-Quran atau hadis Nabi s.a.w. yang menceritakankan tentang hal ibadat zahir, maka dari segi ilmu, Feqah-lah namanya. Demikianlah dengan yang lain.
Selepas zaman sahabat, dan setelah ramai orang yang bukan Arab memeluk agama Islam, maka ulama mula merumuskan isi Al-Quran dan hadis dalam bentuk matan seperti yang ada sekarang. Kitab hadis Imam Malik, Al-Muwatta, disusun mengikut tertib ilmu Feqah, iaitu bermula dengan hukum bersuci, solat dan seterusnya. Beliau adalah golongan Tabi’in (golongan selepas sahabat). Hingga ke hari ini, kebanyakan negara Islam mempelajari Islam dalam bentuk ini. Mana-mana kitab Feqah kita dapati sekarang disusun fihrisnya mengikut susunan ini
Menuntut ilmu itu wajib ke atas setiap muslim. Ini adalah berdasarkan sabda Nabi s.a.w.
طلب العلم فريضة على كل مسلم
Maksudnya: “Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas tiap-tiap orang Islam”
Riwayat Ibnul Abdil Barr.
Timbul persoalan; apakah ilmu yang wajib dituntut? Adakah ilmu agama sahaja atau ilmu-ilmu lain? Dalam perbincangan ulama, Al-Ghazali (1988) menyebutkan bahawa kerana adanya Alif Lam pada perkataan itu ( العلم ) maka ia menjadi ma’rifah. Jadi ilmu yang wajib dituntut itu ialah ilmu agama sahaja. Ilmu lain tidak sampai ke martabat wajib. Walau pun demikian, Al-Ghazali (1975) membahagikan wajib itu kepada dua jenis, iaitu Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah. Ilmu Fardhu Ain ialah segala macam ilmu untuk mengenal Allah, mengetahui sifat-sifat Allah, mengetahui perkara ghaib, mengetahui cara beribadat, halal dan haram, mengetahui ilmu yang berkaitan dengan menjaga hati dan amalan hati, seperti sabar, ikhlas, hasad, ujub, takabur dan sebagainya. Di sinilah lahir istilah-istilah ilmu Tauhid, Feqah dan Tasawuf. Di tampat yang lain Al-Ghazali (1988) mengistilahkan dengan ilmu Mu’amalah dan ilmu Mukasyafah. Semua ini dipanggil Ilmu Syara’.
Ilmu Fardhu Kifayah ialah ilmu yang perlu diketahui untuk keperluan dan keselesaan hidup di dunia. Tanpanya manusia menempuh kesusahan dan tidak dapat menyempurnakan tuntutan Fardhu Ain. Contohnya seperti ilmu perubatan, kejuruteraan, perindusterian, matematik, ekonomi, politik dan lain-lain.
Maksud Fardhu Kifayah ialah cukup jika ada seorang daripada satu kumpulan orang Islam yang belajar ilmu itu dan semua orang dalam kumpulan itu terlepas daripada dosa. Sebaliknya jika tidak ada seorang pun dalam kumpulan itu yang mengetahui ilmu ini, maka semua orang dalam kumpulan itu berdosa (Al-Ghazali, 1988).
Perlu dijelaskan iaitu, yang dikatakan Fardhu Kifayah ialah tuntutan untuk menuntut sesuatu ilmu itu, tetapi apabila telah menceburi di dalamnya ia menjadi Fardhu Ain. Bandingannya ialah seperti solat. Mendirikan solat sunat hukumnya sunat, tetapi apabila mengerjakannya maka wajib mengerjakan semua rukunnya dengan sempurna.
Dalam sistem pendidikan negara ini telah diajar kedua-dua jenis ilmu ini; Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah. Tetapi kefahaman tentang konsepnya masih kabur. Pelajaran agama yang diajarkan dalam sekolah itu dikatakan Fardhu Ain, pelajaran lain dikatakan Fardhu Kifayah. Pada hemat penulis, pelajaran agama yang dipelajari di sekolah itu belum lagi sempurna Fardhu Ain, malah ia merupakan asas Fardhu Ain. Sebab itu Kementerian Pendidikan menamakan salah satu programnya bagi pelajar-pelajar Tahun 6, Tingkatan 3 dan Tingkatan 5 dengan Penilaian Asas Fardhu Ain. Maknanya, yang dipelajari itu baru asas Fardhu Ain, belum lagi Fardhu Ain yang sebenarnya. (Lihat Buku Panduan Penilain Asas Fardhu Ain (PAFA) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, 1994).
Menurut Al-Ghazali (1988), ilmu Fardhu Ain itu ialah ilmu yang wajib diketahui oleh setiap muslim semasa ia hendak melakukan sesuatu yang wajib. Sesuatu yang wajib itu janganlah disempitkan kepada solat, puasa dan haji sahaja, malah banyak lagi perkara wajib yang kita lakukan setiap hari.
Contohnya, membaca Al-Quran itu hukumnya sunat, tetapi bila membaca wajib betul sebutan makhraj dan sifat huruf serta barisnya. Untuk dapat menyebut dengan betul, wajib belajar kepada gurunya yang muktabar, maka timbullah di sini ilmu Tajwid. Dengan itu bermakna, belajar ilmu Tajwid itu wajib apabila hendak membaca Al-Quran.
Berniaga adalah sunnah Rasul s.a.w., bekerja sebagai penaiaga ialah mencari nafkah, mencari nafkah adalah wajib hukumnya. Hendak berniaga wajib ada ilmu. Jadi, pada masa itu ia wajib belajar ilmu perniagaan. Ilmu perniagaan di sini bukan bermaksud ilmu tentang untung rugi, ekonomi, simpan kira dan sebagainya, sebaliknya ia bermaksud ilmu syariat. Iaitu ilmu yang membicarakan tentang apa jenis benda yang boleh diperniagankan dan apa yang tidak boleh, apakah perniagaan itu ada unsur riba atau tidak, dan banyak lagi perkara yang berkaitan yang perlu di ketahui.
Menjadi pentadbir, ahli politik, doktor, pegawai, jurutera, guru dan sebagainya, bukan wajib. Asalnya Fardhu Kifayah, tetapi apabila telah mencebur diri di dalamnya ia menjadi Fardhu Ain. Kerana bekerja itu Fardhu Ain, sebab mencari nafkah. Semasa menjalankan tugas wajib menjalankannya dengan betul, jika tidak betul ia berdosa dan pendapatannya haram, untuk mengetahui betul atau tidak perlu ada ilmu, untuk mendapat ilmu kena belajar. Jadi belajar itu Fardhu Ain, kerana hendak beramal, yakni bekerja mengikut syariat Islam. Dan ilmu yang dipelajari pada masa itu ialah ilmu Fardhu Ain.
Belajar di sini ialah untuk mengetahui apa perkara yang mesti dibuat semasa kita bekerja dan apa pula perkara yang tidak boleh dilakukan, iaitu yang dilarang oleh syariat. Inilah yang dikatakan ilmu Fardhu Ain, iaitu ilmu yang mesti diketahui oleh setiap orang Islam apabila ia hendak melakukan sesuatu perkara yang wajib.
Semua ilmu ini (Fardhu Ain, Fardhu Kifayah dan Tahsiniyat) termasuk dalam bidang pendidikan Islam. Iaitu mendidik setiap muslim, sama ada guru, kerani, polis, askar, pentadbir, jurutera, pegawai, petani, peniaga, pemimpin dan bermacam-macam jenis pekerjaan lagi, supaya menjadi seorang muslim yang beriman dan beramal, dan terdidik dengan pendidikan Islam. Ia faham Islam, faham tuntutan Islam dan menghayatinya. Ia faham tentang amanah yang diberikan kepadanya dan melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab. Dan ia juga faham dan sedar bahawa setiap perbuatannya akan dibicarakan di hadapan Allah nanti di hari Kiamat.
Inilah maksud pendidikan Islam seperti yang disebutkan oleh Al-attas (1979) dan Burlian Somad (1981). Persoalannya ialah, apakah pendidikan Islam dalam sistem pendidikan hari ini menuju ke arah itu? Atau pun masyarakat, termasuk golongan guru, masih kabur terhadap konsep dan kefahaman ini?
Masyarakat guru, samada guru Agama atau bukan guru Agama, harus faham dengan sejelas-jelasnya konsep pendidikan Islam. Jika betul-betul diamati dan difahami kita yakin bahawa semua guru yang beragama Islam ialah guru pendidikan Islam. Pekerja dalam kawasan sekolah, kerani dan pengendali kantin juga pendidik Islam. Mereka sama-sama bertanggungjawab untuk mendidik murid atau pelajar yang beragama Islam di sekolah menjadi orang Islam. Seluruh orang dalam masyarakat, di rumah, di kedai, di dewan, di tempat kerja dan lain-lain adalah agen-agen pendidikan Islam dan bersama-sama bertanggungjawab dalam pendidikan Islam, dalam erti kata menghidupkan iklim Islami, atau penghayatan Islam. Maksudnya, jika ada sesuatu amalan atau pelakuan orang Islam yang terang menyalahi ajaran Islam, maka wajib membetulkannya dan menasihat. Jika tidak dilakukan kita adalah bersalah dengan Allah Taala. Manakala guru Agama bertanggungjawab memberi ilmu Agama, kerana merka dipercayai mempunyai ilmu Islam yang mencukupi untuk tujuan pengajaran dan diberi tauliah untuk tujuan tersebut, dan dalam masa yang sama mereka juga mendidik.
Jika ini dapat difahami dengan saksama dan dijalankan dengan baik dan teratuar, pendidikan akan dapat berjalan dengan cukup berkesan di sekolah dan dalam masyarakat. Lanjutan daripada itu banyak masalah disiplin di sekolah dan dalam masyarakat dapat dikurangkan, kalau pun tidak dapat dihapuskan kesemuanya.
Dengan cara inilah diharapkan matlamat pendidikan Islam akan tercapai dan masyarakat Islam akan maju seperti yang pernah berlaku pada kurun pertama dan kedua hijrah duhulu.
Kaedah dan Teknik Pengajaran Pendidikan Islam

Proses pengajaran dan pembelajaran tilawah al-Quran dan pemulihan jawi yang dilakukan sepanjang praktikum telah berjalan dengan baik seperti yang dirancang. Proses pengajaran dan pembelajaran ini telah memokuskan strategi pengajaran pendidikan Islam iaitu pendekatan, kaedah, teknik dan srategi.

Pendekatan yang digunakan oleh pelatih dalam mengaplikasikan kemahiran rancangan pengajaran harian ialah berbentuk kelas, kumpulan dan individu dan juga berpusatkan pelajar. Pendekatan kelas, kumpulan dan individu yang dilaksanakan oleh pelatih berjaya mencapai objektif kerana ia sesuai dilaksanakan dengan teknik latih tubi, begitu juga pendekatan berpusatkan pelajar dalam melaksanakan pemulihan jawi dimana guru bertindak sebagai fasilitator. Secara tidak langsung murid dapat aktif dan mempunyai minat terhadap pelajaran yang diajar.


Tilawah al-Quran dan Pemulihan Jawi

dalam subjek ini, pelatih telah menggunakan pelbagai kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam. Kaedah yang digunakan oleh pelatih untuk proses pengajaran dan pembelajaran tilawah al-Quran dan Pemulihan Jawi ialah:-


Kaedah Ulangan

kaedah ini dilakukan dengan tujuan untuk proses meningat sesuatu kemahiran, seperti contoh pengajaran yang bertajuk nun dan mim sakinah. Pelatih mendapati kaedah ini berjaya dilaksanakan dan tinjauan yang dibuat menunjukkan ramai dari kalangan murid menguasai pembelajaran yang diajar. Kaedah ini juga dilaksanakan kepada murid yang lemah. Pemerhatian yang dibuat menunjukkan murid lemah juga mula menunjukkan kesan positif.

Mata pelajaran tilawah al-Quran yang diajar dalam kelas amat memerlukan kaedah ulangan kerana menerusi kaedah ini murid dapat menguasai kemahiran membaca dan mengingat dengan baik. Pelatih memasukkan unsur ini pada semua subjek yang diajar termasuk bahasa arab.

Kaedah ini juga digunakan dalam mata pelajaran jawi. Ia digunakan agar murid dapat mengenali dengan lebih mendalam dan juga untuk proses mengingat.

Tinjauan dan pemerhatian menerusi kaedah ini, pelatih mendapati murid juga berminat belajar menerusi kaedah ini kerana ia dilakukan secara kelas, kumpulan dan individu. Kaedah ini juga dapat membantu murid mempelajari secara langsung apa yang telah diajar dalam kelas. Ini kerana murid akan mengulang terus apa yang telah disebut oleh guru.


Kaedah Talaqi dan Musyafahah
Kaedah ini digunakan secara meluas oleh pelatih bagi pelajaran tilawah al-Quran. Kaedah ini digunakan dalam kemahiran tilawah al-Quran. Di mana murid mengadap guru untuk memperbetulkan bacaan. Kaedah ini juga digunakan semasa kelas tasmik.


Kaedah Latih Tubi
Kaedah ini ialah pengulangan fakta atau kemahiran yang hendak dicapai. Kaedah ini dapat menjelaskan lagi apa yang diajar. Murid akan mudah ingat sekiranya fakta tersebut diulang banyak kali.

Kaedah Bacaan
Kaedah ini digunakan untuk mendapatkan maklumat dari bacaan buku. Kaedah ini digunakan semasa pemulihan jawi dan dibaca secara kelas, kumpulan dan individu.

Kaedah Hafazan
Kaedah ini melibatkan proses mengingat secara langsung. Kaedah ini digunakan oleh pelatih semasa kelas tilawah al-Quran dan juga Tasmik.

Kaedah Halaqah
Kaedah ini murid mengelilingi guru dalam bentuk bulatan atau separa bulatan. Biasanya pelatih mengaplikasikan semasa pemulihan jawi dan juga tilawah al-Quran.

Kaedah Tunjuk Cara
Teknik ini digunakan oleh pelatih sewaktu menjalankan pengajaran yang memerlukan pelajar menguasai kemahiran terlebih dahulu sebelum aktiviti sebenar dijalankan. Teknik ini digunakan semasa pemulihan jawi dalam aktiviti permainan boling.

Kaedah Bermain
Kaedah ini dapat mengembangkan banyak kemahiran murid, ia digunakan semasa proses pengajaran dan pembelajaran bagi pemulihan jawi.

Kaedah Kuliah
Kaedah ini ialah guru memberi penerangan dan huraian kepada murid terhadap suatu konsep yang sukar difahami.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment