Monday, July 6, 2009

PEMBUKAAN KOTA MEKAH

Kisah pembukaan Kota Mekah bermula setelah Nabi Muhammad SAW berjaya menubuhkan negara Islam yang pertama di Madinah, perkembangan Islam tersebar luas di semua tempat. Piagam Madinah menjadi tonggak kekuatan umat Islam di Madinah. Kehebatan Piagam ini berjaya mengislamkan sebilangan besar penduduk Mekah dan Madinah.

Nabi Muhammad SAW amat merindui tanahairnya iaitu Mekah, kerinduan itu melebihi segalanya, tambahan pula Nabi Muhammad SAW sering bermimpi memasuki kota Mekah secara aman. Baginda amat ingin membuka Mekah namun hasratnya tidak terlaksana disebabkan terikat dengan perjanjian Hudaibiyah. Baginda mengetahui bahawa orang-orang Arab Mekah tidak akan tunduk kepadanya kecuali setelah orang-orang Arab Quraiys berjaya ditundukkan.

Namun.. apabila Allah SWT menghendaki sesuatu, dia boleh menyediakan sebab-sebab yang membolehkanya berlaku. Hal ini terbukti apabila orang kafir melanggar perjanjian yang telah dimeterikan. Orang kafir Quraiys telah membunuh sekutu Rasulullah saw, sedangkan perjanjian Hudaibiyah melarang mereka berbuat demikian. Pelanggaran perjanjian ini membolehkan Rasulullah SAW mengambil tindakan tegas terhadap kafir Quraiys.

Perkara ini menyebabkan kafir Quraiys berasa sangat menyesal dan ingin meminta keampunan serta memanjangkan tempoh perjanjian. Pemimpin mereka, iaitu Sufian bin Harb dihantar untuk berunding, tetapi Rasulullah saw menolak perundingan mereka. Lalu Abu Sufian pulang ke Mekah dengan Perasaan hampa dan dukacita.


Kemudian pada pertengahan bulan Ramadhan, Nabi Muhammad SAW bersama-sama dengan angkatan tenteranya seramai 10,000 orang berangkat menuju ke Mekah. Semuanya berjalan seperti yang dirancang oleh Rasulullah SAW. Mereka berjalan dengan pantas. Setelah hampir sampai dengan Mekah, barulah mereka berhenti dan mendirikan Khemah. Pada malamnya pula mereka menyalakan unggun api yang banyak untuk mengerunkan musuh.

Penduduk Mekah mula mengetahui akan kedatangan Rasulullah SAW itu. Salah seorang daripada mereka ialah bapa saudara Nabi sendiri, Abbas. Dia segera keluar dari Mekah untuk menemui Nabi dan menyatakan dirinya hendak masuk Islam termasuklah Abu Sufian, sehingga Nabi bersabda bahawasanya sesiapa yang memasuki rumah Abu Sufian dia akan selamat.

Angkatan tentera Nabi Muhammad SAW mula memasuki Mekah sambil membaca surah al-Fath sehingga sampai di depan Kaabah. Pada ketika angkatan Muslimin itu memasuki Mekah, seluruh penduduknya bersembunyi di dalam rumah masing-masing kerana bimbang Rasulullah akan menyerang.

Kini baginda memasuki Mekah sebagai pemenang, setelah bertahun-tahun meninggalkanya secara rahsia. Pada mulanya seluruh penduduk Mekah menyangka Rasulullah SAW atau angkatan Muslimin akan membalas dendam terhadap mereka. Tetapi setelah melihat Rasulullah SAW tidak melakukannya, mereka pun keluar semula daripada rumah masing-masing.

Rasulullah SAW serta seluruh pengikutnya terus menuju ke Kaabah untuk melakukan tawaf. Di pintu Kaabah baginda berhenti lalu bersabda:

“Tiada Tuhan melainkan Allah SWT. Ia adalah Tunggal. Tiada sekutu bagi-Nya, menepati janji-Nya, membela hambanya dan Ia sendirilah yang menghalau tentera musuh!”. “Wahai kaum Quraiys! Sesungguhnya Allah SWT telah menghapuskan kemegahan jahiliyah daripada kamu dan menggagungkan nenek moyang. Manusia adalah berasal daripada Adam dan Adam diciptakan daripada tanah”.

Kemudian baginda SAW membaca ayat:

" يأيها الناس انا خلقنكم من ذكر وأنثى وجعلنكم شعوبا وقبائل لتعارف ان أكرمكم عند الله أتقكم ان الله عليم خبير."
Maksudnya :
“ wahai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang-orang yang paling mulia dikalangan kamu di sisi Allah ialah yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyayang”.
( Surah al-Hujurat ayat 13 )

Kemudian Rasulullah SAW dan seluruh pengikutnya masuk dalam Kaabah. Mereka menghancurkan semua patung-patung yang ada disitu. Setelah semua patung dimusnahkan, baginda Rasulullah SAW pun memerintahkan Bilal bin Rabah untuk naik ke atas Kaabah. Maka berkumandanglah azan buat kali pertama di Mekah.

الله أكبر الله أكبر
الله أكبر الله أكبر

Semenjak itulah suara muazin berkumandang sebanyak lima kali sehari di Kaabah. Bangsa Arab meninggalkan kebiasaan mereka menyembah berhala. Mereka mengantikannya dengan sujud beribadat kepada Allah SWT yang Maha Esa.

Pembukaan kota Mekah ini menjadi titik tolak kemenangan Umat Islam. Semenjak pembukaan kota Mekah ini, Islam tersebar ke seluruh dunia. Kini .... umat Islam menjadikan Islam sebagai satu cara hidup untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

PENGAJARAN YANG DIPEROLEHI DARI CERITA INI IALAH….

1. UMAT ISLAM PERLU BERSATU PADU DEMI MENEGAKKAN ISLAM
2. KITA HENDAKLAH SENTIASA MENUNAIKAN JANJI
3. SENTIASA MEMAAFKAN KETIKA KITA MAMPU MEMBALAS
4. AJARAN ISLAM MEMBAWA KEBAHAGIAAN DUNIA DAN AKHIRAT

.

No comments:

Post a Comment