Friday, June 26, 2009

Laras Bahasa

PENDAHULUAN



Bahasa merupakan elemen utama untuk berkomunikasi antara satu sama lain. Ini menunjukkan bahawa tanpa bahasa, manusia tidak boleh untuk berinteraksi dan juga membentuk budaya yang mempunyai identiti sendiri. Oleh yang demikian bahasa diperlukan bagi membentuk identiti seterusnya menjadi satu unit masyarakat yang mempunyai bahasa dimana dengan bahasa ini akan terbentuk bangsa, masyarakat dan negara.

Kertas kerja ini akan memokuskan tentang laras bahasa yang digunakan dalam subjek Pendidikan Islam. Sebelum itu penulis akan memuatkan terlebih dahulu perkara yang berkaitan dengan pengertian bahasa, asal usul bahasa Melayu, laras bahasa dan semua yang berkaitan dengan bahasa secara ringkas.

Subjek yang dipilih oleh penulis untuk diulas ialah Tayammum. Tajuk ini dipetik dari buku teks Pendidikan Islam tingkatan satu sekolah Menengah.











Pengertian Bahasa

Bahasa ialah suatu sistem lambang bunyi suara yang arbitrari yang digunakan oleh anggota sesuatu kelompok manusia untuk berhubungan. Bunyi suara ini disebut bunyi bahasa. Bunyi- bunyi bahasa dilahirkan manusia dengan alat-alat pertuturannya dan digabungkan untuk membentuk kata (J. Nulawadin Mustafagani, 1991:1).

Bahasa memainkan peranan yang besar dalam kehidupan kita. Mungkin kerana kebiasaan, kita jarang-jarang menelitinya, menganggapnya perkara biasa sahaja sebagaimana kita bernafas atau berjalan. Kesan bahasa menakjubkan, dan banyak mengandungi ciri yang membezakan manusia daripada haiwan, tetapi bahasa tidak mempunyai tempat dalam program pendidikan kita atau dalam spekulasi ahli falsafah kita (Alias Mahpol et. al, 1992: 1).

Bahasa ialah kepunyaan masyarakat yang menuturkannya. Makin besar jumlah penuturnya, makin luas daerah penyebaran bahasa itu, dan makin banyak pula perbezaan yang wujud dari segi penggunaannya. Demikian juga halnya dengan bahasa Melayu. Dalam rangka Malaysia, di Semenanjung Tanah Melayu sahaja sudah terdapat berbagai-bagai dialek, seperti dialek Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Demikian juga terdapat variasi-variasi bahasa Melayu yang wujud oleh sebab faktor-faktor sosial seperti latar belakang pendidikan, jenis pekerjaan, dan kedudukan sosio-ekonomi penutur yang berbeza-beza (Nik Safiah Karim et. al,1993: 25).










Sejarah Bahasa Melayu

Asal-usul orang-orang Melayu, iaitu penutur asli bahasa Melayu, amat kabur kerana sejarah kuno Asia Tenggara masih belum diselidiki dengan mendalam. Walaubagaimanapun kita dapat mengetahui secara kasar latar belakang dan pergerakan masyarakat Melayu kuno, iaitu nenek moyang kita.

Beberapa teori telah mengatakan bahawa penutur-penutur bahasa Melayu berasal daripada golongan manusia yang diberi nama Austronesia. Mereka datang dari daerah Yunan dan telah turun, dalam bentuk beberapa gelombang penggerakan manusia, dan menduduki wilayah Asia Tenggara. Ini berlaku sejak tahun 2, 500 tahun sebelum Masihi, iaitu dengan kedatangan golongan pertama yang disebut Melayu Proto. Kemudian kira-kira dalam tahun 1, 500 sebelum Masihi datang pula gelombang kedua, golongan yang disebut Melayu Deutro. Mereka ini menduduki daerah pantai dan tanah lembah di Asia Tenggara, dan telah memperlihatkan kepandaian belayar dan bercucuk tanam.

Oleh sebab masyarakat Austronesia tersebar luas di seluruh kepulauan Melayu dan Lautan Pasifik, maka berkembanglah tiap-tiap bahasa di daerah masing-masing. Walau bagaimanapun, antara bahasa-bahasa yang berlainan hari ini masih dapat dilihat unsur-unsur persamaan. Bahasa Autronesia ialah satu rumpun bahasa yang tergolong ke dalam satu keluarga bahasa yang besaryang bernama keluarga bahasa Austris. Di samping rumpun Austronesia, terdapat dua rumpun yang lain dalam keluarga ini, iaitu bahasa-bahasa Austronasia dan Tibet-Cina.

Rumpun bahasa Austronesia pula terbahagi kepada empat cabang, iaitu Nusantara, Polinesia, Melanesia dan Mikronesia. Bahasa Melayu tergolong dalam cabang Nusantara dalam keluarga Austronesia. Cabang Nusantara mempunyai jumlah bahasa yang paling banyak iaitu kira-kira 200 hingga 300 bahasa (Nik Safiah et. al, 1993: 1).



Kedudukan bahasa Melayu atau bahasa Malaysia hari ini jelas mencerminkan masyarakat penggunanya yang sedang mengalami pembangunan pesat. Dalam proses pembangunan ini, kita tidak sunyi daripada segala macam perkara baharu : fikiran baharu, konsep baharu, kereta baharu, sabun baharu banggunan baharu dan segalanya baharu. Penutur bahasa Malaysia tentulah berasa perlu mengungkapkan segala yang baharu ini dalam bahasa Malaysia. Dalam keadaan seperti ini jelas kelihatan perkembangan pesat dalam bahasa Malaysia, sehingga ramai penuturnya yang berasa kecewa apabila melihat perubahan tersebut telah meninggalkan mereka jauh di belakang. Hal ini membawa implikasi tertentu dalam usaha mengembangkan bahasa tersebut. Kita bukan sahaja terpaksa mencari satu norma baku untuk bahasa Malaysia bagi pengajarannya, tetapi juga menyakinkan penutur bahasa Malaysia keseluruhannya, bahawa perubahan yang berlaku itu adalah sesuatu yang normal dan akan terus berlaku (Abdullah Hassan,1996:1).




















Laras Bahasa

Laras bahasa boleh diertikan sebagai gaya atau cara menggunakan sesuatu bahasa dalam suatu situasi. Laras akan sentiasa berubah berdasarkan fungsi dan keadaan. Disamping itu, setiap laras menitikberatkan pemilihan kata atau istilah dan menggunakan struktur ayat yang berlainan mengikut disiplin atau bidang tertentu.

Laras bahasa juga boleh ditakrifkan sebagai ciri-ciri khusus penggunaan bahasa mengikut bidang sesuatu wacana yang digunakan. Contohnya laras bahasa doa, khutbah dan upacara. Laras dipengaruhi oleh latar, penutur, peserta dan tujuan. Laras juga dipengaruhi oleh tatabahasa. Contohnya Ayat aktif dan ayat pasif, ayat bias dan ayat songsang, dan panjang pendek ayat akan menghasilkan laras yang berbeza. Terdapat tokoh yang membahagikan laras kepada beberapa bahagian lagi. Misalnya Halliday melihat laras daripada tiga dimensi, iaitu tajuk wacana, cara penyampaian, dan gaya penyampaian (www.tutor.com.my).

Bahasa Melayu telah mengalami proses pertumbuhan dan perkembangan yang begitu pesat lebih-lebih lagi setelah statusnya diangkat sebagai bahasa rasmi dan malahan ia juga berperanan sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara.

Bahasa Melayu telah menunjukkan laras yang berbagai-bagai. Ada laras bahasa biasa, ada laras bahasa sains sosial dan ada pula laras sains tulen. Malahan laras sains sosial itu sendiri, ada bermacam-macam laras lagi yang disebut sebagai laras bahasa biasa, laras bahasa sastera, laras bahasa undang-undang, laras bahasa rasmi dan formal dan sebagainya. Bagi disiplin sains tulen pula, ada laras bahasa matematik, laras bahasa biologi, laras bahasa kimia dan laras bahasa fizik (Ilias Hj Zaidi, 1992: 240).

Bagi Abdullah (1991), laras sesuatu wacana (dengan maksudnya dikhususkan kepada aspek dan disiplin linguistik) itu lebih mementingkan penggunaan pemilihan kata atau Istilah yang tertentu dan penggunaan struktur ayat ataupun ungkapan yang berlainan, khusus untuk sesuatu disiplin ilmu yang tertentu pula, termasuk juga perbezaan daerah dan sosial. Kepada Dr. Asmah Haji Omar, laras bahasa atau dalam bahasa Inggerisnya dipanggil language register, bermaksud ciri-ciri khusus dalam penggunaan bahasa menurut bidang penggunaannya. Secara amnya, laras bahasa dirujukkan juga sebagai gaya bahasa, tetapi bagi ahli-ahli linguistik laras dan gaya adalah dua konsep yang berbeza. Laras khusus berlatarkan bidang penggunaan, sedangkan gaya merujuk kepada cara pengungkapan fikiran, matlamat yang hendak dicapai, suasana yang hendak ditimbulkan dan suasana yang menjadi latar penggunaan bahasa berkenaan (1992:241).


Jenis dan Ciri Laras Bahasa

Laras bahasa dapat digolongkan kepada dua golongan besar, iaitu laras biasa dan laras khusus. Laras biasa ialah laras khusus yang digunakan untuk masyarakat umum seperti bidang hiburan (laporan sukan, berita sukan), pengetahuan dan penerangan (syarahan, rencana), maklumat dan pemujukan (rencana dan iklan).

Laras khusus pula merujuk kepada kegunaan untuk khalayak khusus seperti ahli-ahli atau peminat dalam bidang tertentu dan pelajar-pelajar (rencana, laporan, buku). Pembeza utama yang membezakan antara laras biasa dengan laras khusus ialah:

[ Kosa kata
[ Tatabahasa
[ Gaya

Terdapat tujuh laras dalam laras bahasa iaitu, Laras Bahasa Biasa, Laras Bahasa Perniagaan, Laras Bahasa Akademik, Laras Bahasa Undang-Undang, Laras Bahasa Media, Laras Bahasa Sastera dan Laras Bahasa Agama (www.tutor.com.my).




Laras Bahasa Yang Digunakan

Pendidikan Islam Tingkatan 1
Tajuk : Tayammum

Bahasa yang digunakan dalam artikel ini boleh diklasifikasikan sebagai Laras Bahasa Agama. Ini kerana bahasa yang digunakan dalam tajuk ini mengandungi istilah-istilah agama dan bahasa Arab. Dalam hal ini boleh dilihat menerusi pentakrifan Tayammum itu sendiri, dimana ianya datang dari bahasa arab. Perkataan Tayammum itu sendiri adalah berasal dari bahasa arab. Jadi dapat disimpulkan bahawa bahasa yang digunakan adalah cenderung kepada nilai keagamaan.

Selain dari itu, struktur ayat dalam artikel ini banyak diselitkan dengan petikan daripada ayat al-Quran dan Hadis. Jadi secara tidak langsung ianya mempengaruhi banyak bahasa arab digunakan dalam bahasa melayu. Contohnya perkataan “rukhsah”, dimana maksudnya jika diterjemah dalam bahasa melayu ia membawa makna keringanan atau kemudahan.

Sekiranya ditinjau dengan sudut yang lebih jauh, laras bahasa yang digunakan dalam tajuk Tayammum ini, ia juga mirip kepada laras bahasa biasa dan laras bahasa Akademik. Ini adalah disebabkan penggunaan bahasa yang agak mudah difahami oleh orang biasa. Namun begitu ia juga boleh digolongkan sebagai laras bahasa Akademik, ini dapat dibuktikan melalui perkataan atau istilah yang berkemungkinan orang biasa tidak memahaminya. Contoh perkataan tersebut ialah rukhsah dan debu yang suci. Kedua-dua perkataan ini memerlukan pentakrifan atau huraian untuk memahaminya.






Dari sudut lain pula, ayat yang digunakan dalam tajuk pendidikan Islam ini menggunakan ragam bahasa berulang. Ragam bahasa berulang bermaksud perulangan sesuatu patah perkataan, frasa malahan ayat keseluruhannya. Tujuan penulis melakukan perulangan adalah hendak memperkukuhkan maksud yang hendak disampaikan dalam penulisan berkenaan (Hj Alias Hj Zaidi, 1992: 58). Pengulangan perkataan boleh dilihat melalui:

Tayammum ialah menyapu debu tanah ke muka dan kedua-dua belah tangan hingga ke siku dengan syarat-syarat tertentu dengan niat. Tayammum ialah ganti wudu’ atau mandi disebabkan keuczuran. Tayammum merupakan rukhsah untuk icbadah. Hukum Tayammum adalah wajib bagi orang yang tidak boleh menggunakan air atau ketiadaan air untuk bersolat dan tawaf.

Ragam bahasa berulang ini juga menunjukkan bahawa perkataan yang berulang itu memberi mesej yang penting untuk diingati dan memberikan gambaran situasi yang telah disebutkan sememangnya boleh berlaku. Jadi perkataan yang berulang tersebut menunjukkan juga bahawa ragam bahasa berulang ini menjadi aspek yang penting dalam laras bahasa.
















PENUTUP

Keseluruhan mengenai laras bahasa yang digunakan dalam tajuk Tayammum dalam Pendidikan Islam tingkatan 1 dapat disimpulkan bahasa yang digunakan adalah Laras Bahasa Agama. Laras bahasa agama ini lebih merujuk kepada struktur ayat yang bercorak agama sebagaimana yang telah dimaklumkan. Jadi dalam konteks laras bahasa ini, bahasa yang digunakan dalam tajuk Pendidikan Islam tingkatan 1 mempunyai struktur pembinaan ayat yang agak mudah difahami, tetapi adalah dengan bantuan guru. Ini kerana ada istilah-istilah tertentu yang digunakan memerlukan huraian daripada pakar.

Walaupun istilah-istilah yang digunakan dalam laras bahasa agama ini berbentuk ilmiah, namun ianya telah berlaku penyerapan dalam bahasa Melayu, jadi pelajar sudah biasa dengan istilah-istilah ini. maka tidak timbul soal ketidakfahaman yang berterusan, kerana pelajar sudah sebati dengan istilah-istilah tersebut. Kalau ada hanyalah sebahagian kecil sahaja, dan akan terjawab dengan bantuan guru.

Istilah-istilah yang meresap dalam bahasa Melayu ini telah memperkayakan bahasa Melayu dengan pelbagai perkataan yang baru. Oleh yang demikian laras bahasa agama ini sebenarnya membantu masyarakat untuk memahami dengan lebih mendalam bidang keagamaan. Justeru dapatlah dikatakan bahawa ulasan ini membantu penulis untuk memahami jenis dan bentuk laras bahasa yang digunakan.











RUJUKAN


Abdullah Hassan. 1996. Isu-isu pembelajaran dan pengajaran bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Alias Mahpol et.al. 1992. Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Bahagian Pendidikan Guru. 2004. Bahasa Melayu komunikasi. Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran Malaysia.

Ilias Hj Zaidi. 1992. Kursus lengkap Bahasa Melayu STPM kertas 1 bahagian 1. Kuala Lumpur: Elman

Ilias Hj Zaidi. 1992. Kursus lengkap Bahasa Melayu STPM kertas 1 bahagian 2. Kuala Lumpur: Elman

J. Nulawadin Mustafagani. 1991. Asas kemahiran bahasa Malaysia. Petaling Jaya: Fajar Bakti.

Nik Safiah Karim et.al. 1993. Tatabahasa dewan jilid 1: ayat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kementerian Pelajaran Malaysia. Pendidikan Islam tingkatan satu

Utusan Malaysia. 2006. Laras bahasa. (atas talian). http://www.tutor.com.my/tutor/stpm/laras bahasa.htm

1 comment: