Friday, June 26, 2009

Perbezaan Personaliti

Konsep asas Personaliti

Personaliti bermaksud sahsiah, keperibadian atau perwatakan. Dalam konteks psikologi pendidikan ia ditafsirkan dengan pelbagai definisi. Antaranya ialah:-

Menurut Gordon Allport (1961) menghuraikan personaliti sebagai organisasi sistem psikologikal yang dinamik di dalam jiwa individu. Sistem ini akan menentukan ciri-ciri tingkah laku dan penyesuaiannya dengan alam persekitaran. Alder (1984) pula menyatakan personaliti sebagai gaya hidup seseorang individu. Gagne dan Berliner (1984) berpendapat personaliti merangkumi segala aspek tingkah laku manusia kerana ia merupakan integrasi trait-trait, keupayaan, motif, sikap, pendapat, kepercayaan, pemikiran kognitif, emosi dan ciri-ciri seseorang.

Klasifikasi Personaliti

Personaliti boleh di klasifikasikan kepada tiga kategori, iaitu: introvert, extrovert dan ambivert. Bagaimanapun, personaliti seseorang individu dipersepsikan dalam satu kontinum di antara dua kategori yang ekstrim iaitu introvert dan ektrovert.

Seseorang yang dikatakan introvert ialah orang yang sentiasa menyimpan perasaan dan emosinya dalam situasi nyata. Di dalam interaksi sosial, orang ini tidak banyak bercakap dan banyak masanya ditumpukan mendengar pertuturan orang lain sahaja. Umumnya, orang introvert ini mempunyai sikap yang serius, sifat pendiam dan pemalu, tidak mempunyai cita-cita tinggi, jarang mengambil inisiatif tetapi suka kepada sistem kehidupan yang teratur.

Sebaliknya, seseorang yang dikatakan ekstrovert lebih suka dengan dunia luar daripada dunia dalam. Orang ekstrovert ini mempunyai semangat yang aktif dan suka bergaul dengan orang, sentiasa suka melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sosial, sering mengambil inisiatif sendiri, suka perubahan, sering cepat membongkar perasaannya tetapi cepat pula mengubahnya.
Bagaimanapun, tiada seorang manusia yang benar-benar dikategorikan sebagai introvert atau ekstovert sepenuhnya. Sebenarnya, setiap orang individu mempunyai ciri-ciri introvert serta ekstrovert yang terletak pada satu titik dalam kontinum di antara kedua-dua kategori tersebut.

Kadangkala seseorang individu menonjolkan ciri-ciri introvert dalam sesuatu situasi tetapi dengan ciri-ciri ekstrovert dalam sesuatu situasi yang lain. Misalnya, seseorang individu menunjukkan sifat periang dan proaktif di rumah, tetapi menjadi pemalu dan pendiam apabila berada di sekolah. Orang yang mempunyai kedua-dua ciri introvert dan ekstrovert adalah dikatakan orang yang mempunyai personaliti ambivert. Orang ini biasanya aktif tetapi sensitif, suka berkawan tetapi memilih bekerja berseorangan, bertutur lancar tetapi berfikir sebelum memberi pendapat.

Faktor-faktor yang mempengaruhi personaliti

Menurut ahli psikologi, proses pembentukan personaliti perkembangan individu samaada introvert, ekstrovert dan ambivert adalah dipengaruhi oleh dua faktor utama:-
1) faktor baka
2) faktor persekitaran

Menurut ahli psikologi, faktor baka ibu-bapa mempengaruhi bentuk tubuh badan, keadaan fizikal, kecerdasan dan emosi anaknya. Individu yang mempunyai bentuk tubuh badan yang cacat seperti cacat pendengaran dan cacat penglihatan yang diwarisi daripada ibu-bapanya mungkin mempunyai ciri-ciri personaliti introvert, ini kerana individu mempunyai tubuh badan yang cacat hasil daripada baka keturunannya malu untuk menampilkan diri di khalayak ramai. Mereka ini biasanya akan mengasingkan diri atau tidak menonjolkan diri kepada orang ramai. Keadaan mereka dapat dikenalpasti menerusi sikap mereka yang pendiam dan pemalu. Mereka tidak aktif dan lambat bertindak balas terhadap sesuatu perkara.

Selain itu, sebagaimana yang diketahui umum bahawa kecerdasan juga berkait rapat dengan baka ibu-bapa. Oleh yang demikian kecerdasan memainkan peranan penting dalam pembentukan dan perkembangan personaliti seseorang individu. Pada umumya dalam masyarakat kita hari ini, mereka yang mempunyai darjah kecerdasan yang tinggi akan menonjolkan ciri personaliti yang berkeyakinan, berbudi bicara, berwatak bijaksana dan keberanian atau mungkin bersifat angkuh. Malah, lebih daripada itu, emosi yang diwarisi dari baka boleh mempengaruhi personaliti manusia. Seseorang yang mempunyai emosi yang tidak seronok akan menonjolkan ciri personaliti yang agresif dan pemarah.

Faktor persekitaran juga memainkan peranan yang penting dalam pembentukan dan perkembangan personaliti seseorang individu. Ianya merangkumi persekitaran yang meliputi keadaan keluarga, sekolah, rakan sebaya, masyarakat dan pengalamannya. Individu yang mempunyai latarbelakang keluarga yang bahagia dan harmonis akan menggalakkan pembentukan personaliti yang positif dan stabil. Sebaliknya suasana latar belakang keluarga yang kucar-kacir akan menyebabkan pembentukan dan perkembangan ciri-ciri personaliti yang bersifat negatif.

Peranan sekolah juga mempengaruhi personaliti individu. Guru yang bersifat penyayang dan membimbing murid-murid dengan penuh dedikasi akan menjadi role model untuk membentuk personaliti mereka yang positif. Persepsi rakan sebaya dan individu yang diterima dalam kumpulannya akan menggalakkan membentuk ciri personaliti yang berkeyakinan. Nilai-nilai dan kebudayaan masyarakat juga boleh mempengaruhi pembentukan dan perkembangan personaliti seseorang. Pengaruhnya amat bergantung kepada pengalaman-pengalaman yang dilalui oleh individu tersebut. Menurut Freud, pengalaman yang pahit dan sedih boleh menggalakkan pembentukan personaliti yang menonjolkan sifat menarik diri, pemalu, penakut atau sakit jiwa.





Nurin Jazlina

Seorang yang berwatakan periang dan cerdas, sentiasa menunjukkan komitmen yang tinggi dalam pelajarannya. Sentiasa bertanya guru tentang sesuatu yang tidak faham. Pada kebiasaanya Nurin Jazlina datang awal ke sekolah bersama-sama dengan sepupunya, iaitu Syakir Karomi. Dia sentiasa mempamerkan senyuman apabila berjumpa guru.

Shahirah Mahdzir

seorang yang berwatakan introvert, pendiam dan pemalu, sentiasa mengelakkan diri daripada guru. Tidak pernah bertanya guru, selalu menyendiri, sentiasa di tempat duduknya, tidak suka bergaul dengan ramai kawan. Datang kesekolah dengan ditemani oleh ibunya. Mudah menangis apabila dimarahi, menunjukkan sikap yang tidak suka kesekolah.
















Ketika Perhimpunan

Nurin Jazlina
Ketika waktu perhimpunan Nurin Jazlina sentiasa cepat ke dewan perhimpunan bersama-sama dengan kawan-kawannya. Dia sentiasa mematuhi peraturan seperti berbaris sebelum keluar kelas untuk ke dewan perhimpunan. Sewaktu perhimpunan Nurin Jazlina kusyuk mendengar ucapan dan sentiasa memberi perhatian terhadap sebarang maklumat yang diberitahu semasa perhimpunan. Dia akan menyanyi Lagu Negaraku, Lagu Negeri Kedah dan Lagu Sekolah dengan penuh bersemangat. Respon Nurin terhadap sebarang maklumat yang dia tidak faham, dia akan bertanya guru di dalam kelas.

Shahirah Mahdzir
Pada kebiasaanya Shahirah juga memberikan respon yang baik ketika disuruh berbaris untuk ke dewan perhimpunan, tetapi selalunya dia ditemani oleh ibunya pergi ke dewan perhimpunan. Shahirah sentiasa berada di barisan tengah atau yang paling belakang ketika berbaris. Sewaktu ucapan dia selalunya berada di barisan tengah atau belakang sekali. semasa Lagu Negaraku, Lagu Negeri Kedah dan Lagu Sekolah di nyanyikan dia kelihatan tidak membuka mulut untuk menyanyi. Responnya terhadap maklumat yang disampaikan sewaktu perhimpunan agak lambat, sekiranya dia tidak tidak faham, dia tidak akan bertanya. Dia perlu diberitahu berulang kali sebarang maklumat yang penting untuk disampaikan.










Situasi Di Kantin

Nurin Jazlina
Sewaktu rehat Nurin Jazlina akan makan bersama-sama kawannya di kantin. Kebiasaannya dia akan makan di suatu tempat yang tidak tetap. Kadang-kadang dia akan makan di bawah pokok atau bangku di kawasan kantin. Semasa makan dia akan bersembang dengan kawan-kawannya yang lebih senior darinya. Selepas makan selalunya dia akan menghabiskan masa rehatnya dengan bermain sehingga rehat tamat. Kalau dia tidak bermain, dia akan ke koperasi dengan kawannya untuk membeli sesuatu barang alat tulis.

Shahirah Mahdzir
Pada waktu rehat kebiasaanya Shahirah akan lambat keluar rehat, dia akan menunggu sekejap sehingga tidak ramai orang yang berebut untuk membeli makanan. Kemudian barulah dia akan beratur dengan tertib untuk membeli makanan. Dia akan memilih tempat yang tetap untuk makan. Dia akan makan dengan kawan-kawannya, tetapi langsung tidak bersuara dan mendengar sahaja perbualan kawan-kawannya. Selepas makan shahirah akan terus masuk kelas, dia akan menunggu dalam kelas sehingga tamat waktu rehat.


Situasi Dalam Kelas

Nurin Jazlina
Semasa dalam kelas dia sentiasa menunjukkan rasa gembira untuk belajar, pada kebiasaannya dia selalu menyelesaikan kerja yang diberikan dengan baik tanpa banyak soal. Dia akan bertanya guru sekiranya ada sesuatu yang dia tidak faham. Apabila guru mengajar dia akan memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pengajaran yang disampaikan. Dia selalu akan berbincang dengan kawannya tentang pelajaran yang dipelajari. Walaupun Nurin Jazlina jenis yang extrovert di sekolah, tetapi dia tidak bising dalam kelasnya. Dia sentiasa di tempat duduknya dalam kelas.

Shahira Mahdzir
Di dalam kelas Shahira merupakan antara orang yang paling diam dalam kelas, riak mukanya nampak murung, seolah-olah dia datang kesekolah kerana terpaksa. Dia juga seperti tidak gembira datang ke sekolah. Semasa guru mengajar, dia memberi tumpuan yang tidak sepenuhnya. Seolah-olah dia memikirkan perkara yang lain. Apabila sesuatu kerja yang diberikan, dia akan menjawab tanpa banyak soal. Kebiasaannya terdapat banyak kesalahan dalam kerja yang diberikan. Ini kerana dia takut untuk bertanya kepada guru. Personalitinya yang berbentuk introvert menyebabkan ramai yang menjauhkan diri daripadanya.


Situasi semasa Pendidikan Jasmani

Nurin Jazlina
Sewaktu Pendidikan Jasmani. Dia sentiasa cergas dan aktif, segala aktiviti yang dijalankan akan di ikuti olehnya. Kebiasaannya dia akan bermain dengan kawan-kawannya. Antara permainan yang paling digemarinya ialah permainan Gelung.

Shahirah Mahdzir
Semasa Pendidikan Jasmani, Shahirah selalunya akan mengikuti sahaja arahan guru. Tetapi dia tidak cergas seperti Nurin. Berdasarkan pemerhatian dia akan berhenti bermain apabila aktiviti bebas dijalankan. Dia akan memerhati sahaja kawan-kawannya bermain


Situasi Semasa ketiadaan guru dalam kelas

Nurin Jazlina
Semasa guru tiada dalam kelas, dia akan ambil peluang bersembang dengan kawan-kawannya, ataupun dia akan menolong kawannya habiskan kerja. Dia seorang yang peramah dan senang bergaul dengan semua kawan-kawannya.

Shahirah Mahdzir
Hanya duduk diam di tempat duduknya, matanya liar memerhati kawan-kawannya.
Dia akan melakukan kerjanya sendiri, seperti mewarna, melukis dan sebagainya. Dia akan bercakap apabila ada orang bertanya.

No comments:

Post a Comment