Monday, July 20, 2009

Israk & Mikraj Tanda Kekuasaan Allah


Peristiwa Israk dan Mikraj merupakan peristiwa besar yang berlaku ke atas junjungan besar nabi Muhammad S.A.W. Peristiwa ini membuktikan keagungan kekuasaan Allah S.W.T melakukan sesuatu apa yang dikehendaki-Nya. Setiap umat Islam wajib mempercayainya. Hanya dengan satu malam sahaja Allah S.W.T memperlihatkan kepada Rasulullah tanda-tanda kebesaran-nya bermula dari proses penciptaan alam ini sehinggalah kepada perintah menunaikan solat.

Israk bermaksud perjalanan nabi dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dan Mikraj bermaksud perjalanan nabi dari Masjidil Aqsa di Baitulmuqaddis ke Sidratul Muntaha. Peristiwa ini telah dirakamkan dalam surah al-Israk ayat 1. Firman Allah S.W.T:-

سبحٰن الذى أسرى بعبدِهِۧ ليلا من المسجد الحرام ٳلى المسجد ٱلأقصا الذى بٰركنا حولهُ، لنريه، من ءايتنآۚ ٳنه٫ هو ٱلسميع ٱلبصير۝

Perjalanan nabi Muhammad S.A.W ke Sidratul Muntaha ini merupakan kehendak Allah S.W.T dan mempunyai makna yang besar kepada diri Baginda dan seluruh alam ini. Perjalanan yang agung ini membuka ruang perbahasan yang luas kepada umat umat Islam untuk meneliti dan mengkaji secara mendalam tentang peristiwa ini.

Peristiwa Israk dan Mikraj telah berlaku pada malam 27 rejab. Umat Islam seluruh dunia meraikan tarikh ini sebagai hari kebesaran Islam. Rasullullah S.A.W dimikrajkan ke alam langit iaitu sidratul Muntaha dengan menaiki sejenis binatang tunggangan yang dinamakan Buraq dengan ditemani oleh malaikat Jibrail as. Mengikut Jumhur ulama’ peristiwa ini berlaku dengan jasad dan roh baginda sendiri. Pandangan mengatakan hanya dengan roh tidak begitu popular dikalangan umat Islam.


NABI MELIHAT PEMBALASAN ALLAH

Dalam perjalanan Nabi di atas belakang binatang Buraq, nabi telah diperlihatkan oleh Allah S.W.T berbagai-bagai pembalasan yang akan diterima oleh setiap orang yang mengerjakan perbuatan dosa selama hidupnya di atas muka bumi.

Setiap kali gambaran yang diperlihatkan kepada Nabi, baginda akan bertanya kepada Malaikat Jibrail tentang perkara itu. Seperti ketika Nabi melihat orang yang memecah kepalanya sehingga hancur, kemudian ia kembali seperti asal. Terus dipecahkan pula sampai berkali-kali terus menerus tanpa hentinya. Malaikat Jibrail mengatakan itulah orang yang tidak mahu mendirikan sembahyang dalam hidupnya.


MENERIMA FARDHU SEMBAHYANG

Sidratul Muntaha adalah tempat yang tertinggi dan penghabisan dalam alam ciptaan Allah S.W.T. Di sinilah Allah S.W.T memerintah Nabi menerima sembahyang 50 waktu sehari semalam. Tanpa membantah lagi nabi terus menerima perintah tersebut. Sampai ke langit keenam baginda ditegur oleh nabi Musa as. Baginda memberitahu bahawa dia telah menerima sembahyang sebanyak 50 waktu sehari semalam. Nabi Musa menyuruh Nabi Muhammad S.A.W mengadap Allah S.W.T dan meminta supaya dikurangkan lagi jumlah sembahyang itu. Setelah sembilan kali berulang kali mengadap Allah S.W.T dan meminta supaya dikurangkan jumlah sembahyang sehingga menjadi 5 waktu sehari semalam. Kemudian ditahan lagi oleh Nabi Musa di langit Keenam dan ditanya lagi jumlah rakaat. Nabi Musa as tidak berpuas hati lagi meminta nabi pergi mengadap Allah S.W.T supaya dikurangkan lagi bilangan rakaat yang diyakini tidak mampu dilakukan. Tetapi Rasulullah S.A.W sudah malu untuk bertemu Allah lagi.

Setelah itu turunlah nabi Muhammad S.W.T ke bumi dengan membawa perintah yang baru baginda terima dari Allah S.W.T, iaitu perintah kewajipan mendirikan sembahyang 5 waktu sehari semalam seperti yang difardukan ke atas kita umat Islam hari ini. Walaubagaimanapun segelintir umat Islam pada hari ini masih enggan menunaikan solat walaupun mereka mengetahui bahawa sembahyang itu wajib. Disebabkan hasutan Iblis laknatullah manusia sering lalai menunaikan perintah wajib itu. Justeru hendaklah kita sentiasa berwaspada dan mengingatkan diri kita bahawa Allah sentiasa memerhatikan apa yang kita lakukan, maka dengan itu kita akan sentiasa melaksanakan perintah Allah. Sesungguhnya peristiwa Israk dan Mikraj merupakan peristiwa yang besar yang wajib diyakini oleh setiap umat Islam.


HIKMAH ISRA’ DAN MIKRAJ

1- Allah S.W.T mahu menghiburkan Nabi yang sedang menghadapi penderitaan yang dahsyat setelah bapa saudara baginda Abu Talib dan Isteri Baginda meninggal dunia.

2- Allah mahu Nabi dapat menyaksikan sendiri dengan kepala mata baginda yang hanya diberitahu oleh-Nya melalui wahyu sahaja. Kemudian baginda boleh memberitahu pula kepada umatnya.

No comments:

Post a Comment